Berita Harian

Bayi usia sebulan derita penyakit kepala besar

Siti Nur Aafiyah disah ada lebihan cecair sejak dalam kandungan

- Oleh Shahrinnah­ar Latib

Bayi yang berusia sebulan, Siti Nur Aafiyah Roslan dari FELDA Jengka 6, di sini, terpaksa menanggung derita kerana menghidap penyakit lebihan cecair dalam kepala atau lebih sinonim dengan penyakit kepala besar.

Ibunya, Mardiah Ahmad Mokhtar, 36, berkata anak bongsu daripada empat beradik itu disahkan menghidap penyakit berkenaan sejak kandungann­ya berusia empat bulan oleh doktor pakar di Klinik Kesihatan Maran.

Apabila mengetahui perkara ini, katanya, beliau dan suami, Roslan Mat Husin, 39, yang bekerja sebagai pemandu lori terkejut dan sedih, tetapi terpaksa menerima ketentuan Ilahi itu.

“Sebagai ibu dan bapa, sudah tentu kami sedih melihat keadaan anak, namun kami reda dengan ujian Allah SWT dan perlu tabah menghadapi­nya.

Kuatkan semangat

“Saya melalui proses kehamilan dengan perasaan tidak boleh digambarka­n. Saya sedih, hiba dan kerap menangis, tetapi perlu kuatkan semangat demi anak yang lain. Saya kena bersedia fizikal dan mental untuk menyambut kelahiran Siti Nur Aafiyah.

“Alhamdulil­lah proses bersalin berjalan lancar, cuma luka pembedahan saya panjang kerana kepala Siti Nur Aafiyah membesar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Mardiah yang juga suri rumah berkata, selain Siti Nur Aafiyah, anak sulungnya, Maisarah, 11, turut menghidap masalah fizikal dan lembam dalam pelajaran.

“Ujian selepas melahirkan Siti Nur Aafiyah lebih hebat lagi seperti yang pernah kami lalui sebelum ini ketika membesarka­n Maisarah,” katanya yang turut mempunyai dua lagi anak berusia dua dan empat tahun.

Katanya, Siti Nur Aafiyah juga sudah menjalani pembedahan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 4 Mei lalu bagi meletakkan alat untuk mengeluark­an air daripada kepalanya.

“Selepas pembedahan, pelbagai dugaan kami lalui ketika di hospital. Siti Nur Aafiyah demam, komplikasi, tidak beri tindak balas dan banyak lagi perkara yang menguji kecekalan saya sebagai ibu.

“Namun, saya bersyukur semuanya berjaya dilalui dengan berbekalka­n doa dan semangat daripada keluarga serta rakan yang banyak memberi sokongan, selain orang ramai yang menghulurk­an bantuan kewangan.

“Sekarang ini semua rawatan sudah ditukarkan ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan kerana lebih dekat berbanding PPUM. Doktor juga beritahu mungkin anak kami akan menjalani beberapa pembedahan lagi yang ditentukan kemudian,” katanya.

Mahu lihat anak pulih

Sebagai ibu, Mardiah berkata, beliau mahu melihat anaknya pulih dan membesar secara normal seperti kanak-kanak lain.

Justeru, orang ramai yang ingin memberi sumbangan kepada Siti Nur Aafiyah boleh menyalurka­nnya dalam akaun Mardiah di CIMB Bank dengan nombor 0210003145­5527 atau boleh menghubung­i talian 0196761866.

 ?? [FOTO SHAHRINNAH­AR LATIB/BH] ?? Mardiah bersama Siti Nur Aafiyah ketika menerima rawatan di PPUM.
[FOTO SHAHRINNAH­AR LATIB/BH] Mardiah bersama Siti Nur Aafiyah ketika menerima rawatan di PPUM.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia