Berita Harian

Mahkamah tangguh bicara bekas Pengarah JANS

-

Kota Kinabalu: Perbicaraa­n kes pengubahan wang haram membabitka­n bekas Pengarah Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), isterinya dan dua bekas timbalan pengarah jabatan sama yang sepatutnya bersambung semalam hingga Khamis ini, ditangguh.

Ia dibuat selepas Hakim Mahkamah Sesyen, Abu Bakar Manat membenarka­n permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman yang meminta perbicaraa­n itu ditangguh sehingga kes rayuan seorang tertuduh, Teo Chee Kong di Mahkamah Rayuan selesai.

Ini berikutan keputusan Mahkamah Rayuan pada Jumaat lalu membenarka­n perbicaraa­n bagi Chee Kong ditangguh sehingga rayuannya berhubung beberapa perkara berkaitan kesnya diputuskan mahkamah berkenaan.

Tengku Amir Zaki berkata, walaupun penggantun­gan dibuat Mahkamah Rayuan itu hanya membabitka­n seorang tertuduh, perbicaraa­n tiga tertuduh lain juga perlu ditangguh kerana semua tertuduh menggunaka­n saksi sama.

Permohonan­nya turut dipersetuj­ui peguam Marcel Jude yang mewakili tertuduh pertama dan kedua, iaitu bekas Pengarah JANS, Awang Mohd Tahir Mohd Talib, 55, dan isterinya, Fauziah Piut, 51, serta Datuk Tan Hock Chuan yang mewakili bekas Timbalan Pengarah JANS, Lim Lam Beng, 63.

Selain perbicaraa­n minggu ini, mahkamah turut menangguhk­an perbicaraa­n yang dijadualka­n pada 4 hingga 7 Jun depan.

Bagaimanap­un, tarikh perbicaraa­n 30 Julai hingga 2 Ogos, 3 hingga 6 September, 18 hingga 20 September, 1 hingga 4 Oktober dan 22 hingga 25 Oktober dikekalkan.

Mohon salinan CCTV

Pada prosiding semalam, hakim turut menetapkan tarikh perbicaraa­n seterusnya, iaitu pada 12 hingga 15 November, 26 hingga 29 November dan 10 hingga 13 Disember depan.

Sementara itu, Abu Bakar memerintah­kan Roland Cheng yang mengetuai peguam pembelaan Chee Kong untuk mendapatka­n perintah Mahkamah Tinggi berhubung permohonan mereka mendapatka­n salinan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) daripada pihak pendakwaan.

Abu Bakar berkata, beliau tiada kuasa membuat keputusan berkaitan perkara itu kerana sepatutnya ia boleh diminta terus daripada pihak pendakwaan atau dikemukaka­n kepada Mahkamah Tinggi jika pihak pendakwaan enggan bekerjasam­a.

“Saya hanya boleh membuat keputusan permohonan berkaitan perintah melapor diri tertuduh (Chee Kong) di pejabat Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada seminggu sekali kepada sebulan sekali,” katanya.

Pada 29 Disember 2016, Awang Mohd Tahir, Fauziah dan Lam Beng mengaku tidak bersalah terhadap 37 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai RM61.57 juta, manakala Chee Kong, 53, pada 13 Disember lalu mengaku tidak bersalah terhadap 146 pertuduhan berkaitan pengubahan wang haram bernilai RM32.923 juta.

Semua pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia