Berita Harian

Peniaga wanita menipu dipenjara 2 tahun, denda

-

Kota Bharu: Mahkamah Majistret di sini, semalam, menjatuhka­n hukuman penjara dua tahun enam bulan dan denda RM10,000 terhadap seorang peniaga wanita kerana kesalahan menipu dengan memperdaya operator kilang berkaitan tender kantin dua tahun lalu.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhka­n hukuman itu selepas tertuduh, Noriha Daud, 47, mengaku salah terhadap tuduhan dibacakan.

Mahkamah memerintah­kan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap pada 31 Januari lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memperdaya Nor Azura Hussin, 29, supaya menyerahka­n RM9,000 sebagai modal perniagaan tender kantin Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian dan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) yang tidak wujud.

Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Pengkalan Cherang, Panji di sini pada November 2016.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga 10 tahun dan dengan sebat serta denda.

Janji pulangan lumayan

Berdasarka­n fakta kes, mangsa berurusan dengan tertuduh berkenaan tender makanan di HRPZ II dan HUSM yang kononnya mampu menjanjika­n pulangan lumayan, jika dia menyertai pelaburan itu.

Mangsa kemudian menyerahka­n RM9,000 kepada tertuduh dengan dua kali pembayaran.

Bagaimanap­un, selepas pembayaran itu dibuat, mangsa tidak mendapat pulangan keuntungan yang dijanjikan sebelum dia membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Terdahulu, peguam Norizaidah Abdul Salam yang mewakili tertuduh memohon hukuman ringan dengan mengambil kira tertuduh mempunyai empat anak dan menghidap penyakit darah tinggi.

Bagaimanap­un, Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Shahirun Azri Mohd Nordin memohon hukuman yang boleh memberi pengajaran kepada tertuduh dan orang ramai supaya tidak mengulangi kesalahan sama.

 ?? [FOTO MUHAMAAD RAZIS ISMAIL/BH] ?? Noriha dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.
[FOTO MUHAMAAD RAZIS ISMAIL/BH] Noriha dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Bharu, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia