Berita Harian

Penuntut asing maut kereta terbabit nahas

-

Nilai: Seorang pelajar warga Nigeria terbunuh, manakala seorang wanita cedera ringan apabila kereta dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan jalan raya di Jalan Semarak dekat Taman Semarah di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 8.15 pagi itu, pelajar lelaki sebuah kolej swasta di Kuala Lumpur berusia 20-an itu meninggal dunia akibat kecederaan serius di kepala.

Difahamkan, Proton Saga dipandu mangsa dari Taman Semarak ke bandar Nilai itu hilang kawalan dan merempuh pembahagi jalan sebelum masuk ke laluan bertentang­an dan merempuh sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Lexus dipandu seorang wanita.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Nilai, Khairolliz­al Abu Kasim, berkata satu pasukan bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 8.30 pagi.

Meninggal di tempat kejadian

“Pasukan perubatan dari klinik Kesihatan Nilai turut bergegas ke tempat kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Wanita berusia 39 tahun yang juga pemandu SUV itu bagaimanap­un cedera ringan. Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di sini,” katanya.

Sementara itu, seorang lelaki pengsan selepas lori muatan pasir dipandunya terbabas dan masuk ke gaung sedalam 30 meter di Jalan Bukit Putus di sini, pagi tadi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Senawang, Zainurin Sharif berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.46 pagi dan bergegas ke lokasi bersama satu jentera dan tujuh anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati mangsa Zainal Mohamad Musa, 41, dari Triang, Pahang tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia