Berita Harian

5 pelajar nyaris maut SUV rempuh pokok

Kenderaan hilang kawalan sebelum terbabas di bahu jalan

- Oleh Nur Saliawati Salberi

Kegembiraa­n lima pelajar Universiti Teknologi MARA (UITM) Kampus Lendu mengunjung­i sekolah lama seorang daripada mereka di Muar, Johor, berubah duka apabila nyaris maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) Kia Sportage yang dinaiki merempuh pokok, petang kelmarin.

Kemalangan berlaku pada jam 6.30 petang di Lebuh Alor Gajah-melaka Tengah-jasin (AMJ) berhampira­n Bukit Lintang, di sini, ketika kumpulan pelajar berkenaan, termasuk tiga perempuan, dalam perjalanan pulang semula ke Melaka.

Jurucakap polis berkata, SUV terbabit yang dipandu seorang pelajar lelaki berusia 19 tahun dipercayai hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian lalu melanggar pokok di bahu jalan.

“Akibat kejadian itu, pemandu SUV mengalami luka di bahu dan kaki kiri, manakala rakannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di kepala serta badan.

Patah kaki kiri

“Seorang daripada tiga pelajar perempuan yang duduk di bahagian belakang pula patah kaki kiri,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, berkata semua mangsa yang cedera kini dirawat di Hospital Melaka dan kes disiasat mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bukit Katil, Penguasa Bomba Kanan (PBK) II Md Seleman Tugi, pula berkata sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 6.39 petang, sebuah jentera dan Unit Perkhidmat­an Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) bersama tujuh anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Setiba di lokasi kejadian, beliau berkata, pihaknya mendapati ada dua mangsa tersepit masing-masing di tempat duduk belakang dan di bahagian penumpang hadapan.

“Pihak bomba mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluark­an mangsa yang tersepit menggunaka­n alat khas,” katanya.

Akibat kejadian itu, pemandu SUV mengalami luka di bahu dan kaki kiri, manakala rakannya yang duduk di kerusi penumpang hadapan cedera di kepala serta badan” Jurucakap polis

 ?? [FOTO IHSAN BOMBA] ?? Keadaan kenderaan SUV yang remuk selepas terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampira­n Bukit Lintang, semalam.
[FOTO IHSAN BOMBA] Keadaan kenderaan SUV yang remuk selepas terbabas dan merempuh pokok dalam kemalangan di Lebuh AMJ berhampira­n Bukit Lintang, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia