Van bawa murid terbalik
Alor Gajah: Tiga murid berdepan detik cemas apabila van dinaiki terbalik selepas dirempuh sebuah kereta di Bulatan Sri Bayan menghala Taman Merdeka, di sini, pagi semalam.
Kejadian pada jam 7.45 pagi itu berlaku ketika semua murid Tahun Satu, Dua dan Enam berkenaan dalam perjalanan ke Sekolah Kebangsaan (SK) Gangsa di sini.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan A Asmadi Abd Aziz, berkata kejadian dipercayai berlaku apabila van dipandu lelaki berusia 45 tahun itu dilanggar sebuah kereta Proton Persona dari arah belakang.
“Kereta dipandu seorang lelaki itu dikatakan terlebih dulu bergesel dengan kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora yang dipandu seorang wanita,” katanya ketika dihubungi semalam.
Terima rawatan di Hospital Melaka
A Asmadi berkata, semua murid perempuan termasuk pemandu van kemudian dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.
“Semua mangsa di rawat di Zon Hijau, kecuali murid Tahun Satu yang menerima rawatan di Zon Kuning.
“Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sementara itu, Guru Besar SK Gangsa, Zakaria Ghazalli, berkata ketiga-tiga murid terbabit sepatutnya menduduki peperiksaan pertengahan tahun pada hari ini.
Bagaimanapun, katanya, mereka mendapat pengecualian akibat insiden tidak diingini itu.
“Selepas menerima maklumat mengenai kejadian, saya meminta guru Hal Ehwal Murid bersama guru Kokurikulum sekolah ke hospital bagi membuat pengesahan dan mengenal pasti murid serta keadaan mereka.
“Semua murid berada dalam keadaan stabil dan seorang daripada mereka iaitu murid Tahun Satu dilaporkan patah kaki,” katanya.