Berita Harian

Cosway sasar 60 peratus stokis Melayu dalam 2 tahun

-

Cosway (M) Sdn Bhd, anggota Kumpulan Syarikat Berjaya menyasarka­n untuk menambah bilangan stokis Melayu antara 50 peratus dan 60 peratus dalam tempoh dua tahun akan datang, berbanding 30 peratus daripada 530 stokis ketika ini.

Pengarah Eksekutif, Dr Alice Lee, berkata jenama Cosway itu dikenali sebagai ‘sentrik Cina’ dan syarikat itu dalam proses menyusun semula supaya menjadi lebih menarik kepada segmen Melayu.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan bagi sesebuah negara untuk berjaya dan memecahkan halangan, sangat penting untuk meneroka pasaran yang betul dan memperluas pelanggan sasaran kami,” katanya kepada pemberita selepas melancarka­n produk penjagaan kulit premium, Diamond Royale dan edisi terhad tudung satin, Dignita di Kuala Lumpur, semalam.

Tudung Dignita telah dihasilkan dengan kerjasama jenama tudung tempatan, Naelofar Hijab, yang diasaskan selebriti tempatan Noor Neelofa Mohd Noor.

Noor Neelofa berkata, tudung itu, yang terdapat dalam dua reka bentuk dan tiga warna yang berbeza, akan diedarkan secara eksklusif oleh platform rangkaian pemasaran tempatan syarikat tersebut.

Beri lebih pilihan

“Kami sedang berbincang dengan Cosway kemungkina­n untuk mengeluark­an lebih banyak produk untuk Dignita pada masa depan,” katanya.

Ketika ucapan alu-aluannya, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Berjaya, Tan Sri Vincent Tan, berkata beliau yakin Dignita akan menerajui penembusan Cosway ke dalam segmen pasaran jualan langsung Melayu.

“Saya gembira melihat Cosway memperkena­l produk baru seperti Diamond Royale dan Dignita kerana ini akan memberi lebih banyak pilihan kepada ahli untuk mempromosi dalam persekitar­an jualan langsung yang kompetitif.

“Saya juga ingin mengumumka­n bahawa sebagai tanda penghargaa­n kepada semua pelanggan yang setia, Cosway akan melaksana penarafan sifar bagi cukai barang dan perkhidmat­an untuk semua produknya di seluruh negara mulai hari ini,” tambahnya. BERNAMA

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia