Berita Harian

Peniaga mula jualan awal didenda RM500

-

Kota Bharu: Majlis Perbandara­n Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) mengenakan kompaun RM500 kepada mana-mana premis makanan dan minuman yang berniaga sebelum jam 3 petang.

Tindakan tegas itu diambil sempena Ramadan dan menghormat­i umat Islam yang berpuasa.

Pegawai Perhubunga­n Awam MPKB-BRI, Azman Mohd Daham, berkata ia juga sebagai langkah mengelak orang tidak berpuasa dan menyebabka­n mana-mana pihak membeli makanan lebih awal.

Tindakan tegas

“MPKB-BRI akan mengambil tindakan ini ke atas peniaga yang tidak mengikut arahan menerusi operasi yang dibuat dari semasa ke semasa sepanjang Ramadan.

“Premis yang didapati bersalah akan dikompaun serta-merta.

“Kita tidak akan berkomprom­i dengan peniaga yang melakukan kesalahan ini.

“Setakat ini belum ada lagi peniaga di bandar yang melanggar arahan, namun kita mengesan ada segelintir peniaga di kampung yang gagal ikut arahan.

“Kita beri amaran dulu kepada mereka ini,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berharap peniaga memberi kerjasama dengan mematuhi larangan itu demi menjaga kesucian Ramadan.

“Tidak dinafikan setiap tahun ada premis yang beroperasi awal walaupun sudah dikenakan kompaun, cuma tahun ini kita harap mereka lebih patuh,” katanya.

Larang sebelum jam 2 petang Di Kangar,

Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPS) melarang peniaga Islam menjual makanan sebelum jam 2 petang sepanjang Ramadan ini.

JAIPS dalam kenyataan semalam turut meminta umat Islam mematuhi peraturan jabatan itu untuk mengelak dikenakan tindakan undang-undang.

“Peniaga Islam yang melanggar peraturan jualan boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 25 (1) (a) Enakmen Jenayah Dalam Syarak Negeri Perlis 1991 (Pindaan 2012),” katanya.

Menurut kenyataan itu peniaga yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama.

Bagi kesalahan kedua dan berikutnya, denda maksimum RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia