Berita Harian

Kemenangan tonik berharga

Skuad negara mudah atasi Russia menjelang aksi penting bertemu Denmark esok

-

Daripada Fabian Peter di Bangkok

Malaysia memerlukan keyakinan tinggi jika mahu mengatasi pasukan pilihan yang juga juara bertahan, Denmark untuk mengunggul­i saingan Kumpulan D kempen Piala Thomas 2018.

Menurut ketua pasukan Lee Chong Wei, kemenangan 5-0 ke atas Russia dalam aksi pembukaan kumpulan di IMPACT Arena, semalam memberikan keyakinan kepada pasukan.

Malaysia menurunkan barisan terkuat dan tidak mensia-siakan peluang meraih kemenangan, bermula dengan Chong Wei yang menundukka­n pemain nombor ke-51 dunia, Vladimir Malkov 21-9, 21-6.

Pemenang pingat perak Olimpik, Goh V Shem-tan Wee Kiong kemudian menunjukka­n persembaha­n cemerlang apabila meraih kemenangan 21-18, 21-19 ke atas bekas bekas juara Seluruh England, Vladimir Ivanov-ivan Sozonov sekali gus meletakkan Malaysia mendahului 2-0.

Kemenangan penting

Penampilan pertama Lee Zii Jia mengesahka­n kejayaan buat Malaysia, apabila dia mengatasi Sergey Sirant 21-13, 21-16 dalam aksi perseorang­an kedua.

“Ia adalah kemenangan yang amat penting bagi kami. Kami menurunkan barisan terkuat berdepan Russia, kerana kami perlu pantas menyesuaik­an diri dengan kejohanan ini.

“Kemenangan 5-0 sangat penting, ia memberi kami keyakinan, dan kami memerlukan­nya jika mahu mengunggul­i Kumpulan D,” kata Chong Wei, yang turut menjelaska­n pemain perlu menyesuaik­an diri dengan keadaan gelanggang yang mencabar.

Gandingan Aaron Chia-teo Ee Yi, juga menampilka­n persembaha­n memberangs­angkan dalam aksi pertama mereka apabila mencatat kemenangan 21-16, 21-9 ke atas Evgenij Dremin-denis Grachev, sebelum perseorang­an ketiga, Iskandar Zulkarnain Zainuddin melengkapk­an kemenangan 5-0 selepas mengalahka­n Rodion Alimov 21-9, 21-12.

“Kami mungkin sudah satu langkah di peringkat suku akhir, tetapi kami mahu mengunggul­i kumpulan. Kami masih perlu berdepan Algeria dan Denmark.

“Selepas itu, ada undian semula untuk suku akhir. Jadi kami perlu lihat apa yang akan berlaku. Perkara utama adalah kami semua perlu kekalkan fokus,” kata Chong Wei, yang mungkin berehat dalam perlawanan menentang Algeria, hari ini.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia