Berita Harian

Zulfadli sudah kemuka rayuan

Peguam sahkan surat kepada BWF dihantar semalam

- Oleh Ferzalfie Fauzi

Teka-teki mengenai pemain profesiona­l, Zulfadli Zulkiffli membuat rayuan kepada Persekutua­n Badminton Dunia (BWF) terjawab apabila peguamnya Datuk Joshua Kevin dari Kevin and Co mengesahka­n mereka melakukan proses berkenaan semalam.

Menurutnya, mereka sedia maklum tarikh akhir yang ditetapkan oleh BWF dan tidak akan melepasi tempoh waktu berkenaan walaupun pada saat akhir.

“Kita sedang hantar dan tidak akan lepas tarikh akhir. Ia tidak betul tarikh akhir berkenaan hari ini (semalam) dan saya tidak tahu daripada mana maklumat berkenaan. Tapi saya tidak mahu komen lanjut cuma hanya mahu mengesahka­n saja,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, BWF mengesahka­n mereka masih belum mendapat apa-apa maklum balas daripada Zulfadli - sejak dikenakan hukuman gantung 20 tahun dan denda AS$25,000 (kirakira RM98,000) kerana mengatur perlawanan awal bulan ini.

Menurut BWF tarikh akhir untuk Zulfadli membuat rayuan ialah tengah malam tadi dan jika gagal mengemukak­annya sebelum tarikh akhir, maka juara remaja dunia 2011 itu tidak akan dapat mencabar kes berkenaan meskipun membawanya ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Zulfadli yang didapati bersalah oleh panel selepas dua hari perbicaraa­n di Singapura pada 26 dan 27 Februari lalu, mendakwa BWF tidak menjatuhka­n hukuman secara adil ke atasnya.

“Kita akan menghantar fail rayuan petang ini (semalam). Saya tidak boleh memberi komen apa-apa untuk peringkat seterusnya kerana ini adalah kes pertama BWF.

“Tunggu saja dan ikut garis panduan ditetapkan kerana itu adalah jalan terbaik, kata Joshua.

Zulfadli sebelum ini turut mengesahka­n dia akan mencabar keputusan berkenaan menerusi rayuan.

Mohon bantuan

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini mengesahka­n, pemain berusia 25 tahun itu ada menghantar surat kepada badan induk berkenaan bagi memohon bantuan terhadap proses rayuan.

Pada 2 Mei, Zulfadli dan seorang lagi pemain, Tan Chun Seang didapati bersalah oleh tiga panel bebas - James Kitching, Sylvia Schenk dan Annabel Pennefathe­r.

Zulfadli dan Chun Seang didakwa mengatur keputusan sepanjang enam kejohanan berbeza iaitu GP Emas Terbuka London (2013), GP Terbuka Belanda (2013), GP Emas Terbuka Korea (2014), GP Terbuka Macau (2014), GP Terbuka AS (2014) dan GP Emas Terbuka Brazil (2016).

Sementara itu di Bangkok malam tadi, BWF mengesahka­n Zulfadli dan Tan Chun Seang sudah mengemukak­an permohonan rayuan mereka berhubung hukuman berkenaan.

Berdasarka­n laporan penuh panel, perbualan aplikasi Whatsapp (sebahagian besarnya dalam bahasa Melayu) antara kedua-dua pemain berkenaan sepanjang 15 bulan antara September 27 (2013) - Disember 12 (2014) dijadikan bukti.

Tiga panel bebas berkenaan mendapati Chun Seang melakukan 26 kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2012 kerana terbabit mengatur perlawanan manakala Zulfadli terbabit dalam 27 kesalahan mengikut kod sama selain empat lagi kesalahan di bawah Kod Salah Laku 2016.

Aktiviti kedua-dua pemain berkenaan mula dikesan selepas BWF menerima aduan yang mendakwa Zulfadli menghubung­i mereka untuk cuba mengatur perlawanan Terbuka Brazil 2016.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia