Berita Harian

Puasa bukan halangan Iskandar cemerlang

-

Bangkok: Beraksi ketika Ramadan tentunya satu cabaran, namun buat pemain negara yang beraksi di Piala Thomas, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, itu bukan satu halangan.

Pemain perseorang­an berusia 27 tahun itu menghadiah­kan mata kelima Malaysia untuk meraih kemenangan 5-0 ke atas Russia pada perlawanan pembukaan Kumpulan D. Iskandar menewaskan Rodion Alimov 21-9, 21-12 di Arena IMPACT di Muang Thong Thani, semalam.

Iskandar yang muncul selaku pemain perseorang­an ketiga selepas Lee Chong Wei dan Lee Zii Jia, adalah seorang daripada pemain yang menjalani ibadah puasa selain pemain beregu lelaki, Mohd Arif Latif.

“Tentunya sukar tetapi apa yang lebih penting ialah keikhlasan hati,” kata Iskandar selepas perlawanan menentang Russia.

“Seperti yang kamu tahu, gelanggang latihan di sini sedikit panas, jadi ia sukar buat kami selaku pemain. Namun, kamu tahu akhirnya semuanya berbaloi, apabila anda melihat pasukan beraksi dengan baik dalam pertanding­an.

Beri tumpuan

“Yang menyukarka­n lagi di sini sudah tentunya untuk mencari makanan halal,” kata Iskandar, yang kini memberi tumpuan kepada perlawanan dengan Denmark, Rabu ini.

Malaysia dijadual bertemu juara Afrika, Algeria selepas ini namun pertemuan dengan juara bertahan Eropah itu nanti bakal menentukan juara kumpulan yang menjanjika­n kemaraan ke suku akhir.

“Sekiranya saya bermain untuk perseorang­an ketiga, saya jangka bertemu sama ada Hans-kristian Solberg Vittinghus ataupun Jan Jorgensen. Kedua-duanya sama handal, jadi kita lihat apa yang berlaku nanti.

“Saya juga perlu bersaing untuk mendapatka­n tempat bersama Leong Jun Hao,” katanya lagi.

Seperti Malaysia, Denmark juga menewaskan Algeria 5-0 pada perlawanan pertama Kumpulan D, semalam. Hanya dua pasukan teratas akan melangkah ke pusingan lapan terbaik.

 ??  ?? Iskandar Zulkarnain
Iskandar Zulkarnain

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia