Berita Harian

KL enggan ulangi kesilapan serupa

-

Kuala Lumpur: Penyerang Kuala Lumpur (KL), Zaquan Adha Radzak yakin mereka sudah belajar daripada kekalahan 2-4 kepada Kelantan di Kota Bharu, dua minggu lalu dan tidak akan mengulangi kesilapan serupa apabila berdepan lawan sama di Cheras, malam ini.

Zaquan mengakui sikap mengambil mudah atas kemampuan skuad muda The Red Warriors (TRW) pada pertemuan itu membawa padah, namun menganggap ia pengajaran sangat berguna kepada City Boys.

“Kami tidak patut kalah dalam perlawanan itu tapi ia berlaku kerana kesilapan kami sendiri yang terlampau mengambil mudah, mungkin kerana memandang rendah Kelantan.

“Kami akan pastikan ia tidak akan berulang pada perlawanan malam esok. Kami sudah belajar serta mahu menebus kekalahan itu,” katanya semalam.

Tanpa dibelenggu masalah kecederaan mahupun penggantun­gan, Fabio Maciel dijangka mempertaru­hkan barisan terbaiknya bagi mengelak diaibkan sekali lagi oleh anak buah Fajer Ebrahim.

Beraksi lebih baik

Sementara itu, pemain tengah Kelantan, Mohd Imran Samso mahu memastikan rekod kemenangan pasukannya berdepan KL sebelum ini diteruskan.

Biarpun nampak berliku, pemain berusia 20 tahun itu mahu ia dijadikan sebagai suntikan kepada rakan sepasukan seterusnya bangkit daripada kekalahan berdepan PKNP FC di laman sendiri minggu lalu.

“Ketua jurulatih, Fajer Ebrahim juga membuat perancanga­n yang baik, ditambah kehadiran pemain import baharu, Alaeddine Bouslimi yang menambah kekuatan pasukan.

“Insya-allah saya akan beraksi dengan lebih baik selain memberi fokus sepenuhnya dalam perlawanan itu demi membantu pasukan mendapatka­n tiga mata dari Cheras,” katanya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia