Berita Harian

Tony minat bekerjasam­a dengan FAM

-

Kuala Lumpur: Ketua Pegawai Eksekutif Airasia, Tan Sri Tony Fernandes berminat mengadakan kerjasama rapat dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam beberapa aspek pada masa akan datang.

Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin dalam kenyataan hari ini menjelaska­n satu pertemuan dengan Tony berlangsun­g di Wisma FAM, semalam.

“Ketua Pegawai Eksekutif Airasia, Tan Sri Tony Fernandes berkunjung ke Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini (semalam) bagi berbincang mengenai beberapa perkara berhubung bola sepak Malaysia.

“Pada pertemuan itu, Tony menerusi syarikatny­a, Airasia berminat mengadakan kerjasama rapat dengan FAM pada masa akan datang terutama dari aspek pengadilan, pasukan kebangsaan serta program pembanguna­n belia.

“FAM sememangny­a mengalu-alukan pembabitan serta sokongan daripada ahli perniagaan seperti Tony dalam usaha kita untuk bersama-sama menaikkan semula bola sepak Malaysia,” kata Hamidin.

Langkah permulaan

Turut serta pada pertemuan tersebut adalah ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) tahun kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee selaku Ketua Unit Belia FAM serta Timbalan Presiden PJ Rangers FC, Simon Lim yang hadir bersama Tony.

Pertemuan itu adalah langkah permulaan dan kerjasama kedua-dua pihak mungkin lebih mudah untuk direalisas­ikan sekiranya Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM yang baharu pada kongres ke-54 badan induk berkenaan pada 14 Julai depan.

Selain Hamidin, dua lagi nama iaitu Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi dan bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa turut mendapat pencalonan daripada ahli gabungan untuk merebut kerusi nombor satu itu.

 ?? [FOTO IHSAN FAM] ?? Hamidin (dua dari kiri) bersama Tony (dua dari kanan), Kim Swee (kiri) dan Simon di Wisma FAM, semalam.
[FOTO IHSAN FAM] Hamidin (dua dari kiri) bersama Tony (dua dari kanan), Kim Swee (kiri) dan Simon di Wisma FAM, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia