Berita Harian

‘Lindungi gajah Pygmy’

Jabatan Hidupan Liar diarah siasat kematian spesies terancam

- Oleh Suzianah Jiffar

Jabatan Hidupan Liar Sabah digesa menjalanka­n siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan sewajarnya berkaitan kematian enam gajah Pygmy Borneo dalam tempoh sebulan sejak April lalu, di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jika langkah seperti mengkaji konflik manusia-gajah dan pemburuan haram sudah diambil, kematian haiwan terbabit, termasuk anak gajah berusia setahun tidak akan berlaku.

Katanya, kerajaan yang dipimpin Parti Warisan Sabah (WARISAN) komited terhadap pemulihara­an hidupan liar dan sumber asli di negeri ini.

Rasa sedih

“Saya sedih mendengar kematian enam gajah Pygmy Borneo dalam tempoh sebulan sejak April dan terbaru, semalam (kelmarin). Saya difahamkan, punca kematian gajah terbabit belum lagi dinyatakan.

“Oleh itu, saya mengarahka­n Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew untuk mendapatka­n taklimat mengenai keadaan dan bagaimana cara terbaik memantau segala usaha yang diperlukan untuk melindungi hidupan liar itu,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata, beliau juga sedar banyak yang mungkin sudah dilakukan kerajaan terdahulu berkaitan hidupan liar.

“Bagaimanap­un, kematian gajah, sama ada oleh pemburuan haram atau sebab lain terus berlarutan. Mungkin kerajaan sebelum ini tidak mempunyai keinginan politik untuk meneruskan tindakan lebih drastik yang akan menjejaska­n syarikat pembalakan dan perladanga­n besar?

“Saya tidak tahu mengapa ia masih berlaku selepas banyak tuntutan penyelesai­an daripada kerajaan terdahulu.

“Saya tidak mahu hanya bercakap saja sebaliknya mahu pelan pemulihara­an jangka pendek dan panjang untuk dilaksanak­an segera. Kerajaan WARISAN akan memudahkan usaha itu dan tidak tunduk kepada tekanan mana-mana pihak,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu Jabatan Hidupan Liar Sabah dan Jabatan Perhutanan serta badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasam­a rapat untuk melindungi hidupan liar serta hutan di negeri ini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia