Berita Harian

Jurutera dipukul kena 23 jahitan

-

Penampang: Seorang penolong jurutera menerima 23 jahitan selepas cedera akibat dipukul dengan botol kaca dan kayu oleh sekumpulan lelaki di sebuah kafe di Putatan di sini, Sabtu lalu.

Dalam kejadian jam 10.45 malam itu, mangsa berusia 48 tahun menerima tujuh jahitan di hidung, 13 jahitan di kening sebelah kanan dan tiga jahitan di kepala.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superinten­dan Mohd Haris Ibrahim, berkata sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya minum di kafe berkenaan dan didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang tiba-tiba menghempas botol di atas meja mangsa.

“Mangsa menegur lelaki terbabit dan menasihati­nya supaya tidak berkelakua­n seperti itu, tetapi suspek bertindak menghempas botol dipegang sekali lagi.

“Berikutan itu, mangsa tidak puas hati sebelum berlaku tolak-menolak. Pada masa sama, beberapa rakan suspek terus memukul mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Mohd Haris berkata, akibat kejadian itu, mangsa cedera teruk di bahagian hidung, kening mata dan belakang kepala serta menerima 23 jahitan, selain lebam di badan.

“Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dipercayai terbabit pergaduhan itu,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya masih mengumpul maklumat bagi mengesan beberapa suspek yang masih bebas dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangk­an kecederaan menggunaka­n senjata.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia