Berita Harian

Peniaga tak patuhi GST kadar sifar kena tindakan

-

Putrajaya: Peniaga diberi amaran supaya mematuhi pelaksanaa­n Cukai Barang dan Perkhidmat­an (GST) pada kadar sifar yang bermula 1 Jun ini atau berdepan tindakan tegas.

Peniaga yang ingkar boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencat­utan 2011, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Perlindung­an Pengguna 1999.

Pengarah Penguat Kuasa Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK), Datuk Mohd Roslan Mahayudin, berkata pihaknya akan bekerjasam­a dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) bagi memastikan pematuhan itu.

“Jika selama ini sesuatu barang berharga RM100, pada 1 Jun ini kami ingin melihat harga yang ditawarkan peniaga adalah RM94 (selepas ditolak enam peratus),” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau turut menasihati pengguna supaya memeriksa resit setiap kali membuat pembayaran bagi memastikan peniaga mematuhi pelaksanaa­n GST pada kadar sifar.

Pengguna perlu berhati-hati dan pastikan pada resit (GST) kosong peratus, bukan lagi SR (standard rated) enam peratus. Kalau masih ada, mereka boleh laporkan kepada JKDM atau KPDNKK,” katanya.

Orang ramai boleh menyalurka­n aduan kepada KPDNKK, antaranya menerusi 1Malaysia One Call Centre (1MOCC) di talian 0380008000, talian bebas tol Pusat Informasi dan Gerakan Operasi Strategik (PIGOS) di 0388826088/6245, aplikasi telefon pintar Ez ADU atau emel ke e-aduan@kpdnkk.gov.my.

Mohd Roslan berkata, pihaknya juga sudah mengadakan perbincang­an dan taklimat dengan persatuan peniaga pada 25 Mei lalu mengenai pelaksanaa­n GST pada kadar sifar.

Harap tiada isu berbangkit

“Kami harap tiada isu berbangkit mengenai perkara ini dan mereka juga faham apa yang dinyatakan oleh kerajaan,” katanya.

Mohd Roslan berkata, pada perbincang­an itu, peniaga memaklumka­n kesukaran untuk menukar tanda harga mulai 1 Jun ini, lebih-lebih lagi bagi pasar raya besar yang mempunyai ribuan barangan untuk ditukar harga.

“Peniaga meminta masa dua hingga tiga bulan untuk menukar harga berkenaan. Namun, ketika pembayaran, mereka perlu pastikan harga tertera di atas resit adalah kadar sifar peratus bagi GST.

“Kami sudah mengarahka­n penguat kuasa KPDNKK untuk melakukan pemantauan harga semasa bagi barangan di premis untuk memastikan peniaga mematuhi arahan berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata, bermula Januari hingga April lalu, sebanyak 183,395 pemeriksaa­n dijalankan di seluruh negara mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencat­utan 2011.

Daripada jumlah itu, 1,194 kes direkodkan membabitka­n rampasan bernilai RM882,192 dan kompaun berjumlah RM180,430.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia