Berita Harian

‘Beri masa kami selesaikan kemelut’

Sembilan ADUN tiada niat cetus kemurkaan Raja Perlis

- Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Rozieana Ahmad, seorang daripada sembilan ADUN yang tidak hadir ketika majlis pelantikan Menteri Besar Perlis di Istana Arau pada Khamis lalu, memberi jaminan ‘ribut’ yang melanda bakal reda dalam masa terdekat.

Rozieana mendakwa, beliau dan lapan ADUN Barisan Nasional (BN) lain tiada niat mencetuska­n kemurkaan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai­l, atas tindakan mereka itu.

Beri masa selesai kemelut

“Saya minta agar semua pihak berikan kami sedikit masa untuk menyelesai­kan kemelut yang melanda.

“Pasti akan ada kata sepakat daripada semua sembilan wakil rakyat BN mengenai isu terbabit tidak lama lagi,” katanya kepada pemberita semalam.

Rozieana berharap kemelut yang melanda dapat diselesaik­an dengan cara yang baik dan meminta rakyat Perlis mendoakan kesejahter­aan negeri ini.

Kenyataan Rozieana itu menguatkan ura-ura ADUN BN yang memboikot istiadat angkat sumpah Datuk Seri Azlan Man di Istana Arau sebelum ini, bakal membuat pusingan U.

Semalam ADUN Beseri, Ruzaini Rais, berkata beliau akur dengan keputusan Tuanku Syed Sirajuddin melantik Azlan sebagai Menteri Besar Perlis untuk penggal kedua.

Sebelum itu, ADUN Kayang, Hamizan Hassan, turut akur menjunjung titah Raja Perlis berhubung pelantikan Azlan.

Khamis lalu, Azlan mengangkat sumpah jawatan Menteri Besar Perlis tanpa kehadiran sembilan ADUN BN Perlis yang memboikot istiadat terbabit atas alasan mereka tidak menyokong Azlan.

Sebaliknya, semua ADUN BN itu menyatakan sokongan kepada ADUN Tambun Tulang, Datuk Ismail Kassim, yang diumumkan oleh abangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim, sebagai calon Menteri Besar Perlis yang baharu.

BN bentuk kerajaan negeri

BN boleh membentuk kerajaan negeri selepas menang 10 daripada 15 kerusi DUN Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) awal bulan ini.

Bagaimanap­un, krisis tercetus apabila Shahidan yang juga Pengerusi BN dan UMNO Perlis, mengumumka­n Ismail yang juga adiknya sebagai calon Menteri Besar.

Pencalonan Ismail tidak mendapat perkenan Tuanku Syed Sirajuddin yang bertitah tidak mahu melantik Menteri Besar yang dikhuatiri menjadi boneka pihak luar.

 ??  ?? Rozieana Ahmad
Rozieana Ahmad

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia