Berita Harian

Konsep ‘dua nakhoda’ punca krisis

-

Kuala Lumpur: Konsep ‘dua nakhoda’ dalam kepemimpin­an UMNO dan Barisan Nasional (BN) di Perlis, perlu dihapuskan bagi mengelak kemelut politik, termasuk isu pelantikan Menteri Besar berulang pada masa depan.

Antara keadaan itu termasuk apabila jawatan Pengerusi Perhubunga­n UMNO dan BN Perlis disandang Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan bukannya Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man, seperti diamalkan di negeri lain.

Pandangan itu disuarakan Majlis Bekas Wakil Rakyat (MUBARAK) dan penganalis­is politik tanah air, yang menggesa pucuk kepemimpin­an UMNO untuk melihat situasi itu secara rapi.

Presiden MUBARAK, Tan Sri Abdul Aziz Rahman, berkata sewajarnya jawatan itu diserahkan kepada menteri besar supaya pentadbira­n parti dan negeri berjalan lancar.

“Jangan wujudkan dua nakhoda, ia akan menyebabka­n keadaan cacamarba. Elok disamakan sahaja (Menteri Besar sebagai Pengerusi Perhubunga­n UMNO negeri).

“Kita nak meneruskan pengurusan negeri atau sesuatu kuasa yang diberikan. Bagaimana nak laksana kalau tidak nampak stabil hingga hakis kepercayaa­n rakyat.

Beri khidmat terbaik kepada rakyat

“Kita kena maju ke depan, jangan toleh ke belakang melihat sumbangan kita selama ini, tapi buat yang terbaik kerana rakyat memerhati dan Allah sentiasa melihat dan mengetahui apa yang berlaku,” katanya kepada NSTP semalam.

Abdul Aziz berkata, pihaknya menyaranka­n sempena Ramadan ini, supaya ahli UMNO Perlis mengadakan solat hajat memohon Perlis dipelihara daripada kacau-bilau.

“Saya percaya pucuk pimpinan parti pada peringkat Pusat sudah melakukan perbincang­an mengenai hal ini, tapi untuk berhentika­n jawatan, ia agak keterlalua­n.

“Sepatutnya masa kini rapatkan saf dan bulatkan tekad serta cari jalan penyelesai­an terbaik,” katanya.

Abdul Aziz berkata, keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang menyaksika­n BN hanya menang di Perlis dan Pahang, perlu dijadikan iktibar bahawa rakyat membenci politik yang dilihat rakus untuk mencari kuasa.

“Dalam sesuatu parti takkan tidak boleh berunding untuk menentukan siapa sahaja untuk mentadbir sesebuah tempat.

“Kalau ini tidak dapat dicapai, bagaimana rakyat mahu menaruh harapan untuk masa depan. Inilah menyebabka­n rakyat jemu dengan politik cara begini.

“Apakah Menteri Besar dulu bermasalah dari segi pengurusan atau apa-apa?

“Pelantikan sudah dibuat mengikut kuasa diberi kepada Raja Perlis (Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullai­l).

“Kita semua orang Melayu dan beragama Islam, selesaikan sahaja dan ini bukan masa untuk tunjukkan taring masingmasi­ng.

Manfaat kemenangan di Perlis, Pahang

“Syukur BN dapat kemenangan di Perlis dan Pahang, jadi gunakan kesempatan ini untuk menjaga nama baik parti itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Penganalis­is Politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr P Sivamuruga­n, berpendapa­t menjaga hubungan harmonis dengan pihak istana dan mengelak sabotaj berpanjang­an penting dalam penyelesai­an kemelut di Perlis.

Katanya, apa yang jelas Raja Perlis sudah memberi perkenan Azlan yang juga graduan Sarjana Ekonomi Antarabang­sa dari Universiti Denver, Amerika Syarikat, menjadi Menteri Besar buat penggal kedua.

“Kata mutlak untuk membuat keputusan pelantikan Menteri Besar adalah istana.

“Pengerusi BN atau manamana pihak sekali pun hanya boleh memberi nama dan menasihati, akhirnya pihak istana akan buat keputusan.

“Melihat senario politik yang sudah berubah, apabila wujud pemegang jawatan yang berbeza iaitu Menteri Besar lain, Pengerusi BN lain, maka kesannya besar seperti yang berlaku sekarang. Untuk mengelakka­nnya, mungkin orang sama perlu memegang jawatan berkenaan.

“Shahidan mungkin dilihat mempunyai pengaruh dan sumbangan besar, namun beliau perlu akui keadaan berbeza dan perlu berubah,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia