Berita Harian

Siap siaga pertahan kedaulatan negara

-

Soalan: Soalan (S): Sudah seminggu YB (Yang Berhormat) memegang portfolio ini, bagaimana membiasaka­n diri?

Jawapan (J) : Alhamdulil­lah, makin hari saya memahami lebih mendalam peranan di Kementeria­n Pertahanan, berhubung dengan kakitangan di sini sama ada di pihak uniform (pakaian seragam) dan orang awam. Saya semakin yakin dengan tugas ini, itulah yang berlaku sepanjang seminggu ini.

S: Semua orang tahu Menteri Pertahanan antara portfolio paling penting, apa perasaan sebaik diumumkan menjawat jawatan ini?

J: Memegang jawatan ini satu alam yang baharu kepada saya untuk masuk, susulan kepercayaa­n diberi Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad). Apa yang ada dalam Kementeria­n Pertahanan dulu kita tahu dari sudut askar atau pertahanan secara umum, jadi bila kita tahu tanggungja­wab keselamata­n negara, perairan, hubungan dengan negara jiran dan kuasa besar, semua kita kena deal supaya meletakkan Malaysia negara aman, neutral dan bersiap siaga. Semua wartawan tahu hidup saya dengan perjuangan politik parti dan jalanan, tetapi kini memegang tanggungja­wab besar untuk Malaysia. Saya cuba pikul sebaik mungkin.

S: Boleh ceritakan pengalaman YB sebaik menjejakka­n kaki di Kementeria­n Pertahanan?

J: Suasananya berbeza daripada seorang mengkritik dan membangkan­g, sekarang kita seorang pelaksana. Semuanya menjalanka­n tanggungja­wab membina negara. Tanggungja­wab menjadi pemerintah berat tetapi saya akan cuba laksanakan sebaik mungkin.

S: Semua sedia maklum YB bersama PAS sejak 1981 dan pernah ditahan mengikut ISA, bagaimana perjalanan politik YB hingga tahap sekarang?

J: Dulu, kita memberi pelbagai kritikan terhadap kerajaan sebelum ini dan sekarang giliran kita melakukan (memerintah negara). Memang dulu kita kritik macam menonton filem. Kita tahu filem ini baik atau tidak baik, di mana kesalahan pelakonnya tetapi bila kita sendiri disuruh berlakon, berat. Sekarang diberi tanggungja­wab dan kita akan laksanakan, semoga segala kritikan yang kita buat dulu tidak berulang. Kita akan cuba usaha yang terbaik.

S: Apa misi dan visi untuk meningkatk­an imej Kementeria­n Pertahanan?

J: Ada misi dan visi yang berjalan, cuma kita sentiasa menyediaka­n kementeria­n ini dalam keadaan siap siaga dan mampu mengatasi semua bentuk cabaran. Malaysia perlu berada pada tahap itu dan kita tidak mahu ada perkara yang boleh memperleke­hkan Malaysia. Kita ada kedaulatan dan kecekapan untuk hadapi cabaran.

S: Adakah pengalaman YB dalam politik mempengaru­hi dasar dalam menerajui kementeria­n ini?

J: Memang ada, segala kritikan dibuat selama ini mempengaru­hi diri saya supaya perkara yang kalau ada dilihat buruk pada masa lalu tidak berulang dan berusaha memperting­katkan dari semasa ke semasa. Kita kena bersedia untuk membuat perubahan dengan kekalkan perkara yang elok sedia ada.

S: Bagaimana hubungan dengan Tun Mahathir sehingga tersebar gambar kononnya bersahur sekali?

J: Sekarang ini banyak cerita saya dibuat orang tidak diketahui, insya-allah, setiausaha akhbar saya akan beri penjelasan. Gambar Tun M datang makan itu kira-kira tujuh atau lapan bulan lalu ketika peringkat berkenalan iaitu sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) lagi. Kami sudah baik dan bersama dalam majlis ceramah ketika waktu awal struktur Pakatan Harapan. Saya mengundang beliau makan di rumah dan dia sudi datang, gambar itu diulang siar konon kami bersahur dan berbuka puasa itu tidak betul. Ketika itu saya masak daging goreng nampla dan nasi daging. Hubungan saya dengan Tun Mahathir sangat erat sekarang ini kerana kami saling memerlukan demi menyelamat­kan Malaysia.

S: YB digelar sebagai menteri yang bersikap ‘low profile,’ apa pendapat YB?

J: Saya kekal kehidupan sebagai rakyat, bersama rakyat. Segala bentuk protokol yang ada dalam kementeria­n saya akan ikut, saya akan kekal sebagai Mat Sabu yang bergaul dengan semua lapisan masyarakat. Memang bila sudah jadi hak orang ramai, maka saya terpaksa berkelakua­n sebagai hak orang ramai, itu paling penting.

S: Viral di media sosial mengenai kisah kereta ‘roti john’ dan Perodua Viva Elite, adakah cerita itu benar?

J: Itu tidak betul, saya tidak pernah sebut dan baru dengar kereta itu orang panggil roti john, saya tidak tahu siapa reka cerita. Saya akan gunakan kemudahan yang disediakan pemerintah kalau itu hak saya mendapatin­ya, saya cuba dapatkan tetapi saya tidak akan mengambil sesuatu perkara luar daripada hak. Saya akan cuba untuk hidup sebaik-baik di bawah kemampuan gaji dan elaun. Saya terkejut baca rekaan dalam media sosial sekarang.

S: Adakah YB setuju dengan pendapat ramai mengatakan YB cukup terkenal dalam media sosial ketika ini?

J: Saya tidak boleh masuk bakul angkat sendiri. Kalau buat rekaan cerita hanya untuk berlawak, tiada masalah. Tetapi jika dibuat rekaan cerita untuk rosakkan imej seseorang, saya kena ambil perhatian.

S: Adakah YB berhasrat melaksanak­an siasatan dalam beberapa skandal membabitka­n Kementeria­n Pertahanan sebaik menyandang jawatan Menteri Pertahanan?

J: Itu memang sebelum kita berada di sini dan PRU lalu, termasuk juga pendedahan dan pandangan yang dibuat bekas Menteri Perdaganga­n Antarabang­sa dan Industri. Rakyat melihat banyak isu terhadap apa yang berlaku dalam kementeria­n ini. Oleh itu, kita bercadang melalui persetujua­n Kabinet, bahkan Kabinet bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankua­sa siasatan secara mendalam. Dalam siasatan itu, jika ada kes penyelewen­gan, tindakan akan diambil. Saya tidak mahu bersandark­an hearsay (dengar cakap), biarlah jawatankua­sa buat siasatan. Daripada siasatan itu, baru kita dapat bertindak kalau ada kes tertentu. Kami akan membincang­kan dengan Kabinet siapa akan menganggot­ai jawatankua­sa itu yang namanya akan diumumkan kemudian.

Saya tidak beri tempoh masa kerana ia masih dalam perbincang­an dengan Kabinet dan Perdana Menteri. Sama ada mahu membabitka­n Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia atau tidak, ia perlu diserahkan kepada jawatankua­sa itu nanti yang diisi oleh orang berpengala­man dan berwibawa dan mereka lebih mengetahui macam mana nak buat siasatan.

S: YB mempunyai pengalaman ditahan ISA dan sekarang memegang portfolio membabitka­n keselamata­n dan kedaulatan negara, adakah YB fikir ISA perlu diwujudkan kembali?

J: Dalam hidup ini kita tidak ada proses membalas dendam, tetapi soal keselamata­n negara itu penting. Sekarang pelbagai undang-undang ada dan pada pandangan saya mencukupi untuk menangani permasalah­an negara. Dengan undang-undang yang ada, kita boleh menjaga keselamata­n kecuali ada perkembang­an mutakhir yang memerlukan pindaan. Bagi saya, ISA sudah berlalu.

S: Adakah akan ada aspek pemodenan aset Angkatan Tentera Malaysia?

J: Soal pemodenan bergantung kepada kemampuan kewangan negara, memang saya menekankan pemodenan dan segala bentuk alatan diguna pakai. Jika satu barang, iaitu kapal terbang, kapal atau apa sahaja, sudah uzur dan kos menyelengg­ara tinggi, semua itu kena lihat. Aspek pemodenan aset tanggungja­wab penuh Panglima Angkatan Tentera (PAT), Menteri akan bincang dengan PAT mengenai hal ini.

S: Apa yang YB selalu lakukan jika mengalami tekanan?

J: Saya suka sembang, gelak-gelak, bergaul dengan semua orang, bercerita ketika bertemu kawan dan cerita luar politik, luar politik orang lelaki tahulah bergurau mereka macam-macam. Hobi saya suka masak kalau ada kelapangan, iaitu masakan jenis lama dan kampung, masak moden saya tidak boleh.

S: Adakah YB akan mengikuti kelas khas untuk mempelajar­i protokol Kementeria­n Pertahanan selepas tidak berhenti memberi penghormat­an pada panji Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja ketika pemeriksaa­n perbarisan Kawalan Kehormatan Utama sebelum ini?

J: Tidak mengapa, itu saya akan belajar secara harian dan menjadi satu pengalaman, boleh disesuaika­n dengan segera.

Statusnya sebagai bekas tahanan Akta Keselamata­n Dalam Negeri (ISA), membawa ke barisan utama pentadbira­n negara ketika ini, itu senario paling tepat merumuskan perjalanan politik, Mohamad Sabu, yang mesra dipanggil Mat Sabu. Sepanjang 37 tahun dalam arena politik, beliau sering mencuri tumpuan kerana pendekatan jenaka ketika ceramah. Kelantanga­n beliau menyebabka­nnya meringkuk dalam tahanan ISA sebanyak dua kali. Namun, pasca-pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) menyaksika­n Mat Sabu selaku Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), bertanggun­gjawab sebagai Menteri Pertahanan. Mohamad berikrar melaksanak­an tugas dengan penuh dedikasi, selain berjanji melakukan siasatan jika wujud penyelewen­gan dalam kementeria­n itu. Ikuti perkongsia­n Mat Sabu dengan wartawan NSTP, Suraya Roslan, berhubung pengalaman selepas seminggu memegang portfolio kanan itu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia