Berita Harian

Johan qariah berniaga di bazar Ramadan

Suhailah anggap pengiktira­fan bukan halangan berbakti kepada ibu bapa

- Oleh Hassan Omar

“Apa ada pada nama jika kita sebagai anak tidak boleh berbakti kepada kedua-dua orang tua kita.”

Itu jawapan johan qariah majlis tilawah al-quran peringkat antarabang­sa, Suhailah Zulkifly, ketika ditemui berniaga kuih di gerai bazar Ramadan, di Kampung Londang, Masjid Tanah.

Baginya, gelaran dan pengiktira­fan diterima hanya satu gelaran, namun membantu keluarga mencari rezeki adalah tanggungja­wabnya kepada ibu bapa.

Anak sulung daripada empat beradik itu membantu ibunya, Robiah Ahmad, 55, menghasilk­an pelbagai jenis kuih dan memastikan juadah berkenaan menambat hati pelanggan yang melalui jalan pekan Masjid Tanah-pengkalan Balak, di sini.

Mengajar di KUIM

Jika Suhailah tidak mengajar di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM), Kuala Sungai Baru, di sini, gadis berusia 28 tahun itu pasti tidak ketinggala­n membantu ibunya di dapur dan kemudian bersama bapa, Zulkifly Johar, 59, di gerai Bazar Ramadan Kampung Londang, Masjid Tanah.

“Isnin hingga Jumaat saya mengajar Usuluddin dan Sumber Manusia di KUIM. Cuma Sabtu dan Ahad jika saya tiada kelas taranum, saya membantu ibu di dapur dan menjual juadah,” katanya.

Graduan Universiti Islam Antarabang­sa Malaysia (UIAM) dalam jurusan al-quran, Sunnah dan Sosiologi itu menamatkan pengajian tahfiz 30 juzuk al-quran di sebuah maahad tahfiz di Kuala Kubu Baru, Selangor.

Suhailah muncul johan qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Alquran Peringkat Antarabang­sa (MTHQA) Ke-60 pada 11 Mei lalu, dengan memperoleh 92.05 markah, manakala Abdullah Fahmi Che Nor muncul johan qari.

Masing-masing membawa pulang kepingan emas bernilai RM70,000, piala iringan dan wang tunai RM40,000.

Sebelum meraih kejayaan itu, Suhailah terlebih dahulu mengecapi kemanisan muncul johan tilawah peringkat Melaka pada 2011, 2012, 2015, 2017 dan 2018.

“Saya menjangka qariah dari Indonesia bakal menjuarai tilawah itu, tetapi Alhamdulil­lah, Allah memurahkan rezeki saya selepas saya berjaya membawa empat lagu iaitu bayati, hijaz, nahawand dan rast dalam bacaan selama 10 minit,” kata anak bekas tentera itu.

 ?? [FOTO HASSAN OMAR/BH] ?? Suhailah (kiri) melayan pelanggan membeli kuih di bazar Ramadan, di Kampung Londang, Masjid Tanah.
[FOTO HASSAN OMAR/BH] Suhailah (kiri) melayan pelanggan membeli kuih di bazar Ramadan, di Kampung Londang, Masjid Tanah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia