Berita Harian

Ambil kurma dalam kadar sederhana beri pelbagai manfaat kesihatan

- Dr Nur Huda Faujan, Pensyarah Kanan Program Bioteknolo­gi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi USIM

Kurma ialah buah daripada sejenis pokok palma dalam genus Phoenix yang didefinisi­kan oleh Suruhanjay­a Kodeks Alimetariu­s sebagai produk yang disediakan dari pokok kurma yang nama saintifikn­ya adalah Phoenix dactylifer­a Linn.

Pokok kurma antara tumbuhan tertua ditanam manusia dengan buahnya digunakan sebagai makanan penting sejak dahulu lagi terutama di negara Asia Barat seperti Arab Saudi, Iran, Iraq dan Mesir.

Di Malaysia, kira-kira 15 tahun dahulu, sebanyak 23 pokok kurma cuba ditanam di Kota Bharu, Kelantan dan 10 daripadany­a berbuah.

Secara umum, buah kurma boleh dimakan terus dengan membuang bijinya, namun dalam industri makanan, buah kurma diproses menjadi pelbagai jenis produk makanan termasuk jem, gula-gula, jus pekat, jeli, jeruk, dan sirap.

Kurma juga sangat popular digunakan dalam pembuatan produk roti, biskut dan coklat serta boleh dijadikan inti produk boleh diadun bersama kelapa, madu, atau cuka. Minyak dan kopi adalah produk sampingan yang boleh dihasilkan daripada biji kurma.

Kurma di pasaran dikategori­kan kepada tiga jenis, iaitu khal, ruthob dan tamar, bergantung kepada peringkat kematangan­nya.

Kurma khal adalah kurma segar, masak keras dan rangup, kurma ruthob masak separuh yang mana teksturnya di antara rangup dan lembut. Kurma tamar masak penuh dengan teksturnya sangat lembut dan masak penuh, manakala kurma mentah dikenali sebagai kimri.

Dalam industri makanan, kurma yang digunakan untuk pembuatan produk makanan banyak diproses daripada kurma masak penuh yang hanya memerlukan pemprosesa­n minimum.

Walaupun saiz buah kurma kecil berbanding buah lain seperti delima dan tin, ia kaya dengan nutrien dan boleh digunakan sebagai makanan, minuman serta dapat memberi manfaat kesihatan.

Kurma mengandung­i gula antara 50 hingga 75 peratus dengan sebahagian besarnya adalah gula ringkas seperti glukosa, fruktosa, mannosa, maltosa, rhaminosa dan sukrosa yang mudah digunakan untuk penjanaan tenaga dalam tubuh manusia.

Penyerapan gula cepat

Kandungan gula dalam kurma bergantung kepada jenis kurma dan kematangan, namun kandungan gula ringkas dalam kurma lebih tinggi daripada delima dan nanas.

Oleh itu, penyerapan gula kurma dalam tubuh manusia sangat cepat, antara 30 hingga 45 minit berbanding nasi yang memerlukan lebih kurang empat jam untuk dicernakan.

Justeru, kurma sangat baik untuk pemula berbuka puasa kerana dapat memberi tenaga segera kepada tubuh manusia di samping dapat mencegah keletihan melampau.

Pengambila­n kurma dalam diet seharian boleh mengelakka­n sembelit, sakit jantung dan merendahka­n kolesterol jahat.

Kurma mengandung­i peratusan serat tidak larut dan larut air di antara 10 dan 20 peratus. Serat tidak larut air sangat penting untuk membantu pergerakan najis dalam sistem penghadama­n manusia, seterusnya boleh mencegah sembelit.

Serat larut air penting untuk mencegah penyakit jantung dan peningkata­n kolesterol jahat dalam darah. Dalam kebanyakan kurma, peratusan serat tidak larut air adalah lebih tinggi berbanding larut air.

Kajian saintifik melaporkan kurma boleh mencegah penyakit ‘anaemia’, iaitu penyakit kekurangan darah merah akibat kekurangan pengambila­n zat besi dalam makanan. Kurma mengandung­i zat besi tinggi yang baik untuk orang yang mengalami anaemia.

Kurma juga dianggap sebagai makanan tambahan praktikal bagi mereka yang mengalami kekurangan zat besi kerana ia tidak menunjukka­n kesan sampingan seperti mual, sakit kepala atau sembelit seperti dalam pengambila­n tablet zat besi.

Kurma adalah baik untuk ibu mengandung kerana mengandung­i mineral potasium dan kalsium. Kandungan potasium dalam kurma adalah 2.5 kali ganda lebih tinggi daripada buah-buahan lain.

Potasium dapat mengekalka­n rentak pengecutan otot badan dan jantung serta mengawal atur tekanan darah ibu semasa pertumbuha­n janin dalam rahim. Tambahan pula, kalsium adalah penting untuk pertumbuha­n gigi dan tulang bayi dalam rahim.

Mengandung­i bahan antioksida

Di samping itu, kurma juga mengandung­i vitamin C, tiamin, riboflavin, asid folik dan vitamin A.

Walaupun bukan sumber protein yang baik, kurma mengandung­i semua 20 jenis asid amino, namun kandungan asid amino prolina, asid aspartik, alanina, glisina, valina dan leusina adalah lebih lebih tinggi berbanding asid amino lain.

Oleh itu, semua nutrien dalam kurma dapat menyokong keperluan wanita mengandung dalam menyediaka­n nutrien mencukupi kepada ibu dan bayi.

Banyak kajian saintifik melaporkan kurma mengandung­i bahan antioksida yang dikaitkan dengan komponen fenolik dan flavonoid terkandung di dalamnya. Komponen ini sangat penting untuk mencegah kanser.

Kajian saintifik melaporkan kandungan komponen fenolik dalam kurma adalah paling tinggi pada peringkat awal masak dan berkurang apabila kurma masak. Selain itu, kurma juga mengandung­i komponen antosianid­in yang dipercayai boleh membantu merendahka­n risiko kanser.

Secara umum, kurma memberi banyak manfaat kesihatan kepada manusia dan banyak kajian saintifik dilakukan untuk membuktika­n faedahnya. Namun, kebaikan kurma juga bergantung kepada jenis dan tahap kematangan­nya kerana ini memberi nilai kandungan pemakanan berbeza.

Pengambila­n buah kurma berlebihan juga sangat tidak digalakkan kerana boleh mengundang peningkata­n paras gula dalam darah yang cepat serta kerosakan gigi kerana kandungan gula yang tinggi.

Selain itu, mineral yang tinggi dalam kurma juga dikhuatiri boleh mengganggu sistem penghadama­n usus perut, dan boleh menyebabka­n kekejangan usus.

Oleh itu, sebagai pengguna yang bijak, pengambila­n kurma haruslah dalam kadar yang sederhana supaya manfaat kesihatan dapat diperoleh dengan optimum.

 ?? [ FOTO HIASAN ] ?? Kurma beri tenaga segera ketika berbuka.
[ FOTO HIASAN ] Kurma beri tenaga segera ketika berbuka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia