Berita Harian

Annuar, Azim masih kaji

Borang pengesahan pencalonan perlu diserahkan sebelum 14 Jun

- Oleh Aziman Rosdi

Dua calon yang ingin mencabar Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin bagi merebut kerusi presiden sehingga kini masih belum memberi bayangan untuk memberi laluan atau menarik diri.

Sebaliknya bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Institut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi bersedia untuk menerima borang pengesahan pencalonan pada Rabu ini, yang bakal diserahkan oleh Pemangku Presiden FAM, Datuk Wira Yusoff Mahadi.

"Saya menghubung­i Tan Sri Annuar dan juga Datuk Seri Abdul Azim (semalam) untuk bertanyaka­n mengenai pengesahan pencalonan untuk bertanding pada pemilihan jawatan Presiden.

"Memandangk­an tarikh akhir membuat pengesahan pada 14 Jun ini, maka borang ini perlu diserahkan segera. Ketika ini mereka nampak berminat kerana ingin bertemu untuk menerima borang itu," katanya ketika dihubungi, semalam.

Hamidin yang mendapat pencalonan daripada 18 ahli gabungan dikejutkan dengan pencalonan saat akhir Annuar oleh Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Azim daripada Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) untuk mencabar kerusi Presiden FAM yang ditinggalk­an oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada 2 April lalu.

Perlu masa

Berbanding Hamidin, Annuar dan Azim sebelum ini mengakui belum pasti untuk menerima pencalonan itu sebaliknya masih memerlukan masa bagi membuat keputusan.

Andai dua calon itu mahu bertanding mencabar Hamidin, ia bakal menyaksika­n pertarunga­n tiga penjuru dalam Kongres FAM ke-54 pada 14 Julai ini.

Ketika ditanya mungkin akan berlaku penarikan diri saat akhir seperti yang dilakukan Annuar pada pemilihan Presiden FAM Mac 2017, Yusoff bagaimanap­un tidak mahu membuat sebarang spekulasi.

"Buat masa ini tak boleh komen apa-apa, mungkin ada yang tarik diri atau tidak. Tapi pertemuan saya dengan dua calon itu mungkin membolehka­n saya mengetahui kedudukan sebenar," katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia