Berita Harian

Kaji semula konsesi balak, FMU

Langkah pastikan aktiviti dilaksana ikut syarat

- Oleh Mohd Izham Unnip Abdullah

Selepas mengharamk­an eksport kayu balak, kerajaan negeri hari ini mengumumka­n langkah mengkaji semula semua konsesi pembalakan dan unit pengurusan hutan (FMU) di negeri ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata langkah itu bagi memastikan aktiviti pembalakan atau yang berkaitan dengan FMU dilaksanak­an mengikut syarat ditetapkan bagi mengelak kerosakan hutan, kawasan tadahan air dan habitat hidupan liar seperti gajah.

Beliau berkata, tindakan drastik itu perlu sebelum keadaan menjadi lebih buruk dan merosakkan dasar yang diamalkan kerajaan khususnya dalam usaha memelihara kawasan hutan di negeri ini.

“Kita bincang secara teliti bagaimana FMU dan semua konsesi dikaji semula untuk memastikan (sama ada ia mematuhi syarat atau tidak) kerana banyak isu berbangkit mengenai kes gajah mati mungkin ada kaitan dengan aktiviti pemegang konsesi dan penebangan kayu kayan.

“Tumpuan kita ialah kawasan yang kritikal seperti tadahan air dan tempat hidupan liar, maka kita akan mengambil tindakan lebih lanjut meneliti keadaan ini sebelum perkara itu menjadi satu kemudarata­n kepada dasar kita.

“Jadi kita akan semak semula beberapa konsesi yang diberikan sebelum ini dan kalau didapati ia mengikut peraturan ia tidak menjadi masalah untuk diteruskan.

“Bagaimanap­un kalau berbangkit perkara tidak sihat maka kita akan mengambil tindakan selaras dengan undang-undang,” katanya.

Taklimat lanjut

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Kabinet negeri di Pusat Pentadbira­n Negerk Sabah (PPNS), di sini, semalam.

Yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdaganga­n dan Perindustr­ian, Datuk Seri Madius Tangau dan Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Christina Liew.

Mohd Shafie berkata, beliau akan mendengar taklimat lanjut berkaitan konsesi dan FMU daripada Jabatan Perhutanan negeri pada minggu depan bagi mendapatka­n maklumat lengkap sebelum tindakan terhadap pemegang konsesi diambil.

“Kita tahu ada banyak konse- si dan Jabatan Perhutanan ada maklumkan kepada saya bahawa di lokasi tertentu ada kawasan tadahan bahkan rizab hutan (diceroboh). Kita perlu teliti kenapa kawasan rizab ini digazet untuk pembalakan.

“Walaupun kita sedar ia adalah sumber hasil kepada negeri tapi jangan pula nanti hasil bukan saja tidak dapat dimanfaatk­an bahkan ia jadi masalah di Sabah,” katanya.

Katanya, langkah itu juga bagi menangani kegiatan pembalakan haram di kawasan hutan simpan yang dipercayai masih berlaku selain memastikan pengurusan FMU seperti penanaman semula hutan dilakukan secara telus dan bukannya diganti dengan kelapa sawit.

Mengenai pengharama­n eksport kayu balak, beliau berkata ia turut merangkumi balak yang sudah dimuatkan dalam kapal atau menunggu untuk dipunggah.

Katanya, kayu balak terbabit tidak boleh dilepaskan, sebaliknya hanya dibenarkan dijual kepada industri tempatan yang memerlukan bahan mentah itu seperti kilang perabot.

Minggu lalu, Mohd Shafie selepas mendengar taklimat tertutup daripada Kumpulan Yayasan Sabah di satu upacara, mengumumka­n pengharama­n eksport kayu balak itu untuk memastikan bekalan mencukupi bagi keperluan tempatan.

 ?? [ FOTO EDMUND SAMUNTING /BH ] ??
[ FOTO EDMUND SAMUNTING /BH ]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia