Berita Harian

Ahli Parlimen Pasir Salak tawar diri bertanding

-

Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, semalam, mengesahka­n menawarkan diri bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Bekas Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berjanji, akan bersama ahli UMNO membuat perubahan tadbir urus dalam parti, dengan tidak menjadi pemimpin Yes Man dan pengampu.

“Saya janji akan turun padang untuk bangkitkan semula obor perjuangan UMNO.

“Saya janji tidak akan jadi Yes Man, pengampu. Saya ada prinsip, saya akan bercakap lantang, berterus terang mewakili UMNO dan Islam.

“Saya akan bercakap benar dalam gerak geri sebagai pemimpin,” katanya pada satu sidang media khas, di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini.

Tajuddin mendakwa, beliau sebelum ini pernah mengutarak­an krisis dalaman parti, termasuk dalam isu 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB), pengagihan dana kepada akar umbi tetapi tidak diendahkan kerana statusnya sebagai pemimpin kecil.

“Jika saya terpilih, saya akan utarakan isu krisis dalaman mengikut prinsip kepartian,” katanya.

Tajuddin yang membabitka­n diri dalam politik sejak awal 1980-an dikenali sebagai pemimpin kontrovers­i yang lantang menyuaraka­n pandangan.

Pernah ditahan ISA

Pada 1987, beliau pernah ditahan di bawah ISA dalam Operasi Lalang bersama Ibrahim Ali, Fahmi Ibrahim dan barisan pemuda UMNO, yang berhimpun di Stadium TPCA, Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Tajuddin juga pernah dilarang menganggot­ai UMNO Baru pada 1988 disebabkan dituduh menyertai Semangat 46, namun diterima semula kerana dakwaan itu tidak berasas.

Pada 1995, beliau dipecat oleh Majlis Tertinggi UMNO kerana disyaki terbabit dalam politik wang RM6 juta untuk merebut jawatan Ketua Bahagian Pasir Salak, yang ketika itu disandang oleh Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib.

Ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Timbalan Perdana Menteri dan menyokong kuat, Ramli.

Pada 1998, beliau diterima semula menyertai UMNO tanpa syarat dan dipilih sebagai Timbalan Ketua UMNO Pasir Salak tanpa bertanding pada 2000.

Tiga Ahli Parlimen lain iaitu Khairy Jamaluddin (Rembau); Datuk Seri Mahdzir Khalid (Padang Terap) dan Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Presiden UMNO.

Majlis Tertinggi UMNO menetapkan tarikh persidanga­n tahunan Cawangan UMNO dan Pergerakan Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO dimulakan pada 19 Mei hingga 10 Jun.

Mesyuarat UMNO bahagian ditetapkan pada 30 Jun. Persidanga­n akan dijalankan secara serentak dengan pemilihan parti di seluruh negara.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia