KERINDUAN NORA Syawal satukan 4 diva
Pemergian suami tercinta ragut semangat sambut Lebaran Anak didik arwah Adnan Abu Hassan kongsi momen manis bersama mentor
Pengalaman dan usia membezakan mereka, namun satu persamaan yang wujud antara empat pemilik vokal hebat ini adalah kerjaya seni mereka dicungkil dan dibimbing oleh insan yang sama, komposer tersohor, Allahyarham Datuk Adnan Abu Hassan.
Walaupun sudah dua tahun pergi menyahut seruan Ilahi, kenangan manis bersama arwah masih basah dalam ingatan empat diva iaitu Aishah, Nora, Liza Hanim dan Misha Omar. Sempena lebaran yang bertandang, HIP mengambil inisiatif menyatukan mereka dalam sesi fotografi istimewa. Dalam rancak berbicara mengenai kemeriahan sambutan hari raya, wanita hebat ini berkongsi pengalaman bekerja dan mengimbau momen manis pernah dilalui bersama figura prolifik terbabit.
Aishah mahu rakam semula Laguku Untukmu
Jika artis lebih junior menganggap arwah sebagai mentor, Aishah pula menyifatkan Adnan sebagai sahabat. Penyanyi yang popular dengan lagu, Janji Manismu ini mengakui, seronok berkerja dengan arwah Adnan yang pada matanya, sangat profesional dan tahu apa yang dimahukan.