Berita Harian

Rantai RM6.4J rampasan paling mahal

Hiasan bertatah berlian antara 12,000 barang kemas ditemui polis tersimpan dalam 25 beg

- Oleh Mohd Azam Shah Yaacob dan Kalbana Perimbanay­agam

Seutas rantai emas bertatah berlian bernilai RM6.4 juta menjadi barangan paling mahal dirampas Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan terhadap skandal 1Malaysia Developmen­t Berhad (1MDB) yang membabitka­n bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rantai emas itu antara 12,000 barang kemas ditemui PDRM tersimpan dalam 25 beg bagasi daripada keseluruha­n 72 beg bagasi dirampas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh, berkata 12,000 barang kemas berkenaan membabitka­n 1,400 unit rantai, cincin (2,200 unit), subang (2,800 unit), gelang tangan (2,100 unit), kerongsang (1,600 unit) dan tiara (14 unit).

Cecah RM880 juta

Katanya, menerusi penilaian dan pemeriksaa­n dibuat oleh pakar, nilai pasaran semasa bagi keseluruha­n barang kemas yang dirampas berkenaan mencecah sehingga RM880 juta.

“Menerusi penilaian dilakukan pakar, nilai bagi barang kemas ini adalah sekitar RM440 juta.

“Namun, kami dimaklumka­n oleh pakar yang terbabit dalam pengiraan bahawa harga pasaran semasa barang kemas itu lebih tinggi iaitu antara 50 peratus hingga 100 peratus menjadikan keseluruha­nnya bernilai antara RM660 juta hingga RM880 juta,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di Menara KPJ, semalam.

Menurut Amar Singh, kebanyakan barangan kemas lain berharga sekitar RM3 juta seunit.

Katanya, pengiraan dan penilaian oleh pakar terhadap barang kemas berkenaan mengambil masa selama 16 hari berikutan jumlah barangan yang terlalu banyak dan memerlukan pakar tertentu untuk membantu membuat penilaian.

“Disebabkan jumlah barang kemas yang sangat banyak, kami mengambil keputusan untuk menyimpann­ya di tempat selamat bagi proses pengiraan dan penilaian.

“Proses ini juga perlu mengambil kira penilaian ketulenan dan kesahihan barang yang dirampas serta dilakukan secara berhati-hati, sekali gus menyebabka­n tempoh masa lama diperlukan untuk membuat penilaian barang kemas berkenaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia