Berita Harian

Jenama Bijan kini jadi ‘buah mulut’ ramai

-

Kuala Lumpur: Secara tiba-tiba jenama Bijan menjadi tarikan ramai selepas ia disebut dalam sidang media polis semalam ketika mengumumka­n barang yang dirampas dari kediaman yang dikaitkan dengan Datuk Seri Najib Razak.

Bijan yang disebut sebagai ‘bizaen’ adalah antara jenama paling eksklusif dan mahal di dunia malah dikategori­kan sebagai rekaan khas dan ikonik.

Pada mulanya, jenama Bijan ini hanya boleh ditempah khas daripada pereka fesyen terkemuka Bijan Pakzad yang meninggal dunia pada 2011, yang juga pengasas jenama berkenaan.

Bijan adalah satu-satunya pereka fesyen bagi semua jenis kelengkapa­n lelaki, iaitu daripada pakaian, kasut, skaf, tali leher, barang kemas dan jam tangan hingga ke beg pejabat, beg bimbit dan haruman eksklusif.

Tiada dalam pasaran biasa

Pengarah Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dalam sidang akhbar semalam mendedahka­n beg jenama Bijan itu tidak boleh dibeli di pasaran biasa sebaliknya ia ditempah khas adalah antara 567 beg tangan daripada 37 jenama yang dirampas di kediaman bekas Perdana Menteri itu.

Selain jenama Bijan, beg tangan yang dirampas termasukla­h jenama Hermes, Prada dan Chanel. Kumpulan beg beg tangan Hermes saja bernilai kira-kira RM51.3 juta dengan yang paling mahal berharga RM1.6 juta.

Harga bagi beg tangan Birkin jenama Hermes adalah antara RM25,000 hingga RM100,000 dan beg koleksi khas harganya lebih daripada itu.

Difahamkan harga bagi sepasang stoking di butik Bijan berharga antara RM403 manakala harga bagi tali leher bermula pada harga RM4,031 setiap satu dan satu persalinan suit bermula pada harga RM100,000 manakala harga beg sandang kulit buaya dicatatkan dalam portal online berharga RM16,105.

Untuk rekod, Bijan Pakzad yang lebih dikenali sebagai Bijan kelahiran Iran mencipta nama di Los Angeles, Amerika Syarikat adalah perunding imej kepada Presiden Amerika Syarikat, Ronald Reagan dan Barack Obama.

Pilihan selebriti, tokoh dunia

Beliau juga adalah pilihan bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair dan Presiden Russia, Vladmir Putin selain menjadi pereka pilihan selebriti dan tokoh terkemuka dunia seperti Malcolm Forbes, Roger Moore, Pierre Trudeau, Raja Juan Carlos, Barry Manilow, Raja Hussein (Jordan) dan pemain gitar, George Benson dan pemain bola keranjang, Michael Jordan.

Pereka fesyen itu juga turut menjadi pilihan pereka fesyen lain seperti Oscar de la Renta, Tom Ford dan Giorgio Armani, selain artis berprofil tinggi seperti Tom Cruise and Anthony Hopkins.

Sebelum kematianny­a, Bijan yang dikenali sebagai pereka fesyen eksklusif hanya menerima tempahan melalui temujanji khas di butiknya di Los Angeles. Bijan hanya menerima lima hingga enam pelanggan dalam satu hari.

Malah, ketika Amar Singh menyebut nama Bijan, ramai wartawan yang meminta beliau mengejanya kerana jarang mendengar jenama berkenaan.

Sebaik sidang media itu berakhir, perkataan Bijan menjadi viral di media sosial dan ramai.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia