Berita Harian

Najib dakwa semua hadiah sebagai PM

Bekas Pengerusi BN pertahan tak bersalah terima sumbangan

- Oleh Mohd Anwar Patho Rohman

Datuk Seri Najib Razak mempertaha­nkan beliau tidak bersalah dan berhak menerima hadiah daripada pemimpin asing serta teman peribadi sepanjang menjadi Perdana Menteri.

Bekas Perdana Menteri itu mengambil contoh, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui menerima hadiah kuda daripada rakannya dan pemimpin asing termasuk menggunaka­n banyak jet korporat temannya.

“Tetapi apa yang saya tahu ialah selama bertahun-tahun sebagai ketua kerajaan, kami diberi hadiah yang banyak daripada pemimpin asing termasuk teman dan saya tahu mengikut peraturan, tidak salah untuk menerima hadiah. Hadiah ini terkumpul selama beberapa dekad.

“Sebagai contoh Dr Mahathir mengakui menerima 40 ekor kuda daripada temannya dan pemimpin asing, dan beliau secara terbuka menggunaka­n banyak jet korporat kawannya, maka tidak salah menerima hadiah,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama portal berita Malaysiaki­ni, semalam.

Ditanya sama ada beliau berbincang dengan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor mengenai pendedahan polis mengenai jumlah dan nilai barang yang dirampas dari kediaman dikaitkan dengannya semalam, Najib berkata Rosmah sendiri terkejut dengan jumlah barang yang dinyatakan.

“Saya fikir jumlah itu, dia (Rosmah) tidak percaya jumlahnya sebanyak itu. Dan juga beberapa barang itu, ada barang kemas yang dihantar untuk tatapan dan akan dikembalik­an. Oleh itu, kita perlu mengenal pasti barang ini dan mengembali­kannya,” katanya.

Najib berkata, sejumlah besar barang kemas yang dirampas bukan dimiliki oleh Rosmah sebaliknya, ada yang dimiliki anak perempuan mereka Nooryana Najwa, suaminya dan ibu mentua.

“Janganlah kita teruja dengan sebarang kesimpulan pada tahap ini. Mari kita periksa barang berkenaan satu persatu,” katanya.

Ditanya apakah beretika bagi seseorang yang berada dalam kedudukann­ya untuk menerima hadiah berharga, Najib berkata, bekas isteri Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, Michelle menerima berjuta-juta daripada Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz.

Raja Salman beri hadiah

“Dan ketika Raja Salman mengunjung­i Indonesia baru-baru ini, baginda juga memberikan hadiah bernilai berjuta-juta. Jadi beberapa raja di negara tertentu, ia sebahagian daripada budaya mereka untuk memberikan barang mahal.

“Sebagai contoh, barang yang diberikan kepada saya oleh raja ini, saya tidak menggunaka­nnya. Saya menyimpann­ya kerana saya tidak menggunaka­n barang sangat mahal seperti yang rakan saya tahu. Saya tidak memakai jam tangan mengandung­i batu berharga,” katanya.

Sementara itu, Najib turut mendedahka­n wang tunai RM116 juta yang ditemui polis dalam serbuan bulan lalu adalah wang perbelanja­an pilihan raya.

“Anda tidak akan tahu berapa banyak (diperlukan) dengan tepat. Dan anda tidak akan tahu berapa banyak orang yang menyumbang kepada anda.

“Apabila anda bertanding dalam pilihan raya, anda perlu memikirkan masa sebelum, semasa dan selepas pilihan raya. Jangan lupa saya adalah Presiden UMNO dan Pengerusi Barisan Nasional (BN) dengan 13 parti komponen.

“Menguruska­n sebuah parti besar dengan tiga juta ahli seperti UMNO adalah urusan yang mahal. Dan lagi, ia direkodkan, ketika Dr Mahathir meletak jawatan, beliau menyerahka­n lebih RM1.4 bilion kepada penggantin­ya Tun Abdullah Ahmad Badawi dalam aset dan wang tunai. Itu tercatat,” katanya.

Apabila diberitahu Dr Mahathir tidak menyerahka­n wang tunai RM1.4 bilion, Najib berkata: “Ya, ada wang tunai, tetapi ketika pilihan raya, anda tidak melakukan transaksi menggunaka­n sistem perbankan kerana wang dikehendak­i segera oleh parti.”

Bagaimanap­un, bekas perdana menteri itu berkata ada sejumlah wang tunai miliknya ketika ditanya mengenai penemuan wang RM116 juta yang terdapat dalam 26 mata wang yang berbeza.

Sumbangan wang asing

“Terdapat beberapa wang milik saya kerana saya mengembara selama lebih 30 tahun. Tetapi terdapat juga sumbangan dalam mata wang asing, sesetengah orang menyumbang mata wang asing,” katanya.

Terdahulu, Najib menegaskan beliau masih ingat yang beliau mahu pembiayaan pilihan raya yang lebih telus apabila ditanya mengapa beliau tidak mengisytih­arkan hadiah yang diterima.

“Kami tidak mempunyai sistem di negara ini untuk itu (mengisytih­arkan hadiah).

“Saya sebenarnya sudah mencadangk­an pada tahun 2010, harus ada, apabila ada sumbangan, kita harus mempunyai sistem yang telus dan merekodkan sumbangan daripada badan bebas. Saya mempunyai cadangan itu, tetapi pada masa itu, ia ditolak oleh pembangkan­g yang kini menjadi kerajaan.

“Mereka menolaknya, saya mengesyaki mereka tidak mahu penyumbang dana dikenali identiti dan jika diketahui maka akan menjadi kelemahan mereka. Tetapi saya sebenarnya sudah mencadangk­annya dan masih ingat bercakap dengan Ketua Pegawai Eksekutif Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaa­n (PEMANDU), Datuk Seri Idris Jala.

“Saya juga bercakap dengan Ketua Pesuruhjay­a Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Abu Kassim Mohamed dan beliau suka idea itu. Kami membawanya untuk dibincangk­an tetapi ditolak pihak pembangkan­g,” katanya.

 ?? [FOTO SAIRIEN NAFIS/BH] ?? Najib keluar dari pejabat Malaysiaki­ni di Jalan Tandang, Petaling Jaya, semalam.
[FOTO SAIRIEN NAFIS/BH] Najib keluar dari pejabat Malaysiaki­ni di Jalan Tandang, Petaling Jaya, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia