Berita Harian

KL, Jakarta buka lembaran baharu

Peluang dua negara perkasa hubungan, kerjasama sedia ada

-

Pertemuan empat mata antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan Presiden Joko Widodo, di sini, esok, membuka lembaran baharu dalam konteks hubungan ‘dua sahabat lama’ Malaysia-indonesia.

Lebih bermakna lagi, ia adalah lawatan rasmi pertama Dr Mahathir selepas menjawat jawatan Perdana Menteri buat kali kedua, 10 Mei lalu.

Sebagai negara tetangga yang amat rapat dengan Malaysia kerana mempunyai banyak persamaan, termasuk dari segi budaya dan agama, Dr Mahathir tentunya mempunyai perspektif tersendiri mengapa memilih Indonesia sebagai negara pertama kunjungan rasminya selepas mengetuai Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Wisma Putra dalam satu kenyataan mengenai lawatan itu semalam berkata, Perdana Menteri yang diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dijadualka­n tiba di Jakarta pada jam 6 petang ini.

Dalam rangka lawatan ini, Perdana Menteri akan mengadakan pertemuan empat mata dengan Joko Widodo atau lebih dikenali dengan panggilan Jokowi di Istana Bogor pada pagi esok.

“Ini disusuli dengan Majlis Makan Tengah Hari yang dihoskan Presiden bagi meraikan Dr Mahathir dan delegasi Malaysia,” kata kenyataan itu.

Sebelum itu, sebaik tiba di Jakarta, Perdana Menteri akan mengadakan perjumpaan dengan masyarakat Malaysia di sini pada sebelah malam.

Ketengah dasar terkini Malaysia

“Lawatan ini akan membuka peluang kedua-dua pemimpin memperkasa­kan hubungan dua hala dan kerjasama sedia ada di antara Malaysia dan Indonesia.

“Lawatan ini juga membolehka­n Malaysia mengetenga­hkan dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama,” kata kenyataan itu.

Selain itu, kedua-dua pemimpin juga akan turut bertukar pandangan mengenai isu serantau dan global yang mempunyai kepentinga­n bersama terhadap Malaysia dan Indonesia.

Indonesia adalah antara negara jiran yang paling rapat dan terpenting untuk Malaysia.

Pada 2017, jumlah perdaganga­n dua hala direkodkan RM72.63 bilion (AS$16.89 juta), menyaksika­n pertumbuha­n 22 peratus berbanding 2016.

Ini sekali gus menjadikan Indonesia sebagai rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia pada peringkat global dan ketiga terbesar di negara anggota ASEAN selepas Singapura dan Thailand.

Lawatan ini juga membolehka­n Malaysia ketengahka­n dasar terkini kerajaan dan pendirian negara, khususnya berkaitan isu yang mempunyai manfaat bersama” Kenyataan Wisma Putra

 ?? [FOTO HIASAN] ?? Indonesia antara rakan dagangan Malaysia dengan jumlah perdaganga­n dua hala direkodkan RM72.63 bilion pada 2017.
[FOTO HIASAN] Indonesia antara rakan dagangan Malaysia dengan jumlah perdaganga­n dua hala direkodkan RM72.63 bilion pada 2017.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia