Berita Harian

JKKK dijenama semula Majlis Pengurusan Komuniti Kampung

Elaun bulanan anggota ditetap RM500 bagi pengerusi, RM300 setiausaha

- Oleh Irwan Shafrizan Ismail

Jawatankua­sa Kemajuan dan Keselamata­n Kampung (JKKK) bagi negeri di bawah pentadbira­n Pakatan Harapan (PH) kini dikenali sebagai Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Menteri Pembanguna­n Luar Bandar, Rina Mohd Harun, berkata Kabinet bersetuju untuk penjenamaa­n semula itu selaras dengan tugasnya.

Pada masa sama, katanya, Kabinet juga bersetuju kadar elaun bulanan bagi anggota MPKK ditetapkan sebanyak RM500 bagi pengerusi, RM300 (setiausaha), RM100 bagi pengurusan mesyuarat dan RM50 bagi kehadiran mesyuarat.

“Kuasa dan urusan bagi pelantikan, pertukaran dan penamatan anggota MPKK kekal di bawah kuasa kerajaan negeri dan pentadbira­n di bawahnya.

“Bagaimanap­un, dalam melaksanak­an kuasanya, kerajaan negeri hendaklah memastikan ia selaras dengan tatacara pengurusan MPKK yang ditetapkan kementeria­n dan dasar kerajaan,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, MPKK juga akan dianggotai sekurang-kurangnya 30 peratus golongan wanita yang mampu untuk bersama-sama menyumbang tenaga, idea, perspektif dan kemahiran dalam pembanguna­n kampung.

Ada 11 biro baharu

Selain itu, katanya, MPKK akan mempunyai 11 biro baharu antaranya Biro Pembanguna­n Prasarana, Keselamata­n dan Kesihatan, Pengurusan Kewangan, Ekonomi dan Keusahawan­an dan Kebajikan dan Kesukarela­wan.

“MPKK yang cemerlang juga akan diiktiraf dengan pemberian geran bernilai RM10,000 bagi tujuan kesejahter­aan dan keceriaan kampung dengan geran siling tidak melebihi RM100 juta setahun.

“Kaedah dan syarat permohonan akan dimuktamad­kan kementeria­n dalam masa terdekat. Geran ini akan memberi manfaat kepada 10,000 daripada 16,481 kampung di seluruh negara,” katanya.

Ditanya bagaimana kaedah bantuan kepada kampung yang ditadbir pembangkan­g, Rina berkata, kementeria­nnya sedang menjalanka­n kajian mekanisme pemberian bantuan dan kajian dijangka siap dalam tempoh sebulan.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa sekretaria­t ditubuhkan bagi menggerakk­an inisiatif dilaksanak­an kementeria­n merangkumi pembanguna­n kanak-kanak, pembanguna­n industri kecil dan produktivi­ti luar bandar, harga getah dan kajian semula insentif keusahawan­an luar bandar.

“Sekretaria­t Pembanguna­n Kanak-kanak akan menangani isu seperti keselamata­n kanak-kanak, pemerdagan­gan manusia membabitka­n kanak-kanak luar bandar dan juga kemudahan dan rawatan bagi kanak-kanak kelainan upaya.

“Sekretaria­t Mekanisme Penetapan Harga Getah ditubuhkan bagi menangani isu kejatuhan harga getah yang memberi kesan kepada industri dan pekebun kecil. Satu kajian komprehens­if akan dilakukan bagi menangani isu ini,” katanya.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia