Berita Harian

Operasi, keluasan klinik dinaik taraf akhir tahun

-

Putrajaya: Klinik 1Malaysia yang kini dikenali Klinik Komuniti akan dinaikkan taraf dari segi sektor operasi dan keluasanny­a menjelang hujung tahun ini.

Menteri Kesihatan, Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Klinik Komuniti berkenaan akan dilengkapi dengan pegawai perubatan serta penambahba­ikan perkhidmat­an farmasi dengan menempatka­n pegawai atau penolong pegawai farmasi secara berfasa.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membuat kajian audit terlebih dahulu bagi menentukan sama ada sesuatu kawasan itu memerlukan klinik berkenaan atau sebaliknya.

“Semua 346 klinik akan dinilai terlebih dahulu, sekiranya menerima kurang daripada 50 pesakit sehari, kita akan tutup. Sebagai rumusan, kementeria­n ini akan mengkaji semula operasi Klinik 1Malaysia mengikut lokasi dan keberkesan­an perkhidmat­an.

Sedia peruntukan tambahan

“Kita akan memasukkan peruntukan tambahan berhubung cadangan penjenamaa­n semula Klinik 1Malaysia dalam bajet baharu yang akan dibentangk­an Julai ini,” katanya pada sidang media selepas menghadiri mesyuarat pasca Kabinet di kementeria­nnya, di sini, semalam.

Dr Dzulkefly berkata, tidak timbul isu buang kerja sekiranya Klinik 1Malaysia itu perlu ditutup kerana klinik terbabit dianggotai oleh penjawat awam tetap dengan mereka akan diserapkan untuk berkhidmat di Klinik Komuniti yang berhampira­n.

Dalam pada itu, beliau berkata, Klinik 1Malaysia yang ditubuhkan pada 2010 itu menerima kedatangan pesakit sebanyak 1.3 juta setahun dan bertambah kepada 6.59 setahun pada 2017.

Pada peringkat awal, klinik berkenaan hanya menyediaka­n perkhidmat­an untuk penyakit ringan seperti demam, batuk, selsema serta prosedur rawatan ringkas iaitu mencuci luka, membuka jahitan serta ujian makmal ringkas.

Kini, Klinik 1Malaysia menawarkan perkhidmat­an rawatan penyakit kronik serta perkhidmat­an kesihatan ibu dan anak di beberapa lokasi terpilih di seluruh negara.

Sementara itu, mengenai pemilihan timbalan menterinya, Dr Dzulkefly berkata, pihaknya sudah mencadangk­an nama calon baharu bagi menggantik­an Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye yang menolak tawaran berkenaan.

Namun, katanya, ia terserah kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menentukan mana-mana calon terbaik untuk mengisi jawatan Timbalan Menteri Kesihatan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia