Berita Harian

Kerajaan negeri digesa tangani ancaman hakisan

-

Kuching: Kerajaan Sarawak diminta memberi perhatian serius terhadap ancaman hakisan yang berlaku di Tanah Perkuburan Islam Seruai di kawasan tebing Sungai Saribas, Spaoh.

Malah, langkah penyelesai­an segera perlu dicari bagi menangani permasalah­an itu sebelum tanah perkuburan berkenaan lenyap.

Ketua Cabang PKR Batang Lupar, Abang Zulkifli Abang Engkeh, berkata kawasan perkuburan masyarakat Islam daripada sembilan perkampung­an itu akan binasa jika kegiatan mengorek dan menyedut pasir di kawasan berhampira­n tidak dikawal.

“Aktiviti mengorek pasir di Sungai Saribas bukan baharu, ia sudah lama dijalankan tetapi aduan penduduk kampung tidak diambil peduli.

“Kini, sebahagian besar daripada kawasan perkuburan itu menunggu masa untuk jatuh ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat PKR Sarawak, di sini.

Beliau mendedahka­n kegiatan mengorek pasir itu dijalankan 24 jam dan hanya terletak berhampira­n kawasan perkuburan itu.

“Jika dibiarkan, ia pasti memusnahka­n tanah perkuburan yang berusia ratusan tahun,” katanya.

Beliau turut membuat laporan polis di Balai Polis Gita, di sini, dengan harapan kegiatan itu dihentikan selain disiasat sama ada pihak berkenaan berlesen dan memenuhi peraturan ditetapkan.

Gesa siasatan rapi

Abang Zulkifli juga menuntut tindakan segera diambil Jabatan Tanah dan Survei (JTS), Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB), Jabatan Alam Sekitar (JAS), Lembaga Sungai-sungai Sarawak (LSS) dan Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kami mendesak bukan sahaja kegiatan mengorek pasir ini dihentikan tetapi juga satu penyiasata­n rapi dibuat.

“Menurut sumber yang boleh dipercayai, kegiatan ini mendapat kelulusan JTS tetapi melihat keadaan di kawasan itu, saya syak tiada Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) dibuat.

“Hakisan tanah di kawasan perkuburan ini berlaku sejak enam tahun lalu dan ia sudah mencecah lebih 10 meter tetapi kenapa tiada tindakan diambil. Kenapa JTS biarkan sahaja sedangkan sudah beratus kubur terhakis,” katanya.

Aktiviti mengorek pasir di Sungai Saribas bukan baharu, ia sudah lama dijalankan tetapi aduan penduduk kampung tidak diambil peduli” Abang Zulkifli Abang Engkeh, Ketua Cabang PKR Batang Lupar

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia