Berita Harian

Pemandu treler nafi sebabkan kematian

-

Temerloh: Pemandu treler mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam, terhadap tuduhan menyebabka­n kematian tiga lelaki termasuk dua beradik dalam kemalangan pada Ahad lalu.

Tertuduh, A Kumar, 31, dari Sungai Gadut, Negeri Sembilan membuat kenyataan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapny­a di hadapan Majistret Nordiana Abd Aziz.

Beliau dituduh memandu secara berbahaya hingga menyebabka­n tiga kematian iaitu Khasrul Haizal Mohd Yusof, 20; Khasrul Ikhwan Mohd Yusof, 18; dan Chua Jyh Shyong, 37.

Tertuduh yang memakai baju lokap berwarna jingga melakukan kesalahan itu di Kilometer 149 Jalan Kuantan-kuala Lumpur, jam 9.30 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkut­an Jalan 1987 yang memperuntu­kkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 10 tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Pendakwaan dilakukan Pegawai Pendakwa Asisten Superinten­dan Mariana Hashim manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Tan Yu Tang.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.

Dalam rayuannya, tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangka­n atas alasan dia bekerja sebagai pemandu treler dengan pendapatan RM2,500 sebulan dan menanggung isteri serta ibunya.

Lesen memandu digantung

Nordiana membenarka­n tertuduh diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bercagar dan lesen memandunya digantung sehingga kes selesai.

Beliau turut menetapkan tarikh 11 Julai ini sebagai sebutan semula dan lantikan peguam.

 ?? [FOTO NAZIRUL ROSELAN/BH] ??
[FOTO NAZIRUL ROSELAN/BH]

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia