Berita Harian

‘Tangisan iringi salam terakhir’

Bapa sedih kenang semula percutian seminggu arwah anak di kampung

- Oleh Hasbi Sidek dan Sabaruddin Abd Ghani cnews@nstp.com.my

Lans Koperal Fahrurozi Abd Manaf, 32, yang maut dihempap pokok ketika menjalanka­n operasi kawalan sempadan di Hutan Belum, Tasik Banding, Gerik, Isnin lalu, menangis bersalaman dengan ibunya untuk pulang bertugas semula selepas bercuti seminggu, kira-kira empat bulan lalu.

Bapanya, Abd Manaf Abdullah, 67, berkata itu kali terakhir beliau dan isteri, Mariam Lazim, 65, bertemu Fahrurozi sebelum mangsa pulang bertugas di Batalion 8 Rejimen Renjer Diraja Para, Melaka.

“Ketika itu, saya menganggap ia (mangsa menangis ketika bersalaman) hanya biasa kerana Fahrurozi mungkin sedih tidak dapat pulang menyambut Aidilfitri bersama berikutan terbabit dalam operasi tentera.

“Bagaimanap­un, hati saya menjadi resah sepanjang Ramadan lalu sehingga dodol yang dimasak tiga hari sebelum menyambut Aidilfitri, tidak menjadi dan terpaksa dibuang begitu sahaja,” katanya.

Abd Manaf berkata, bukan sahaja terpaksa membuang sekuali dodol yang hangus, malah banyak perkara lain dilakukan juga serba tidak menjadi, menyebabka­n beliau terasa Syawal kali ini paling berbeza.

Beliau yang terkenal dengan kemahiran menghasilk­an dodol dalam kalangan penduduk tempatan di sini berkata, mangsa bagaimanap­un tidak menunjukka­n sebarang sikap pelik sepanjang tempoh bercuti itu.

Walaupun sedih, katanya, mereka sekeluarga reda dengan pemergian anak ketujuh daripada sembilan beradik itu.

Jenazah Fahrurozi selamat dikebumika­n lewat malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Merah, di sini.

Majlis pengebumia­n turut dihadiri Panglima Dua Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohd Ramli Jaafar, dan Panglima Dua Briged, Brigedier Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar.

Mohamad Sabu ucap takziah

Arwah meninggalk­an seorang isteri dan anak lelaki berusia dua tahun.

Dalam kejadian jam 10.40 malam Isnin lalu, dua anggota tentera maut, manakala dua lagi cedera apabila dihempap pokok yang tumbang dipercayai akibat ribut kuat dan hujan lebat, ketika menjalanka­n operasi kawalan sempadan di Hutan Belum.

Fahrurozi dan Koperal Mohamad Safuan Hassan, 30, berasal dari Raub, Pahang, meninggal dunia di tempat kejadian.

Koperal Mohd Haizol Kamsiran dan Renjer William Nisau pula patah tulang pinggul dan belakang, serta menerima rawatan di Hospital Gerik.

Sementara itu di Kuala Lumpur, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dalam satu kenyataan, berkata beliau sudah mengarahka­n bantuan sewajarnya diberi kepada keluarga Fahrurozi dan Mohamad Safuan.

“Untuk makluman, saya mengarahka­n Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Zulkifli Zainal Abidin, untuk memberi segala bantuan kebajikan dan kelayakan diperoleh mengikut peraturan sedia ada kepada keluarga mangsa,” katanya.

Katanya, beliau juga akan mengutuska­n surat peribadi kepada keluarga mangsa berkenaan dalam masa terdekat.

Selain itu, katanya, beliau dan seluruh warga Kementeria­n Pertahanan mengucapka­n takziah kepada keluarga mangsa dan berharap mereka tabah menerima dugaan berkenaan.

“Semoga Allahyarha­m ditempatka­n dalam kalangan orang beriman. Saya juga mendoakan supaya anggota yang cedera dan sedang menerima rawatan di Hospital Gerik diberi kesembuhan seperti sediakala,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia