Berita Harian

Contohi dakwah Rasulullah didik remaja

-

Membentuk akhlak anak remaja antara cabaran terbesar dihadapi ibu bapa kini. Semakin meningkat usia, mereka cenderung memberonta­k dan suka membuat keputusan sendiri, bahkan yang dibimbangi apabila mudah terikut-ikut dengan budaya songsang hasil pengaruh rakan sebaya.

Pada fasa ini, ada ibu bapa yang teguh dan sabar dalam menghadapi kerenah anak, tetapi tidak kurang juga berputus asa atau mengambil sikap ‘lepas tangan’ selepas apa yang dilakukan tidak meninggalk­an kesan.

Pensyarah Kanan, Pusat Kesejahter­aan Insan dan Komuniti, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr A’dawiyah Ismail, berkata usaha mendidik anak memerlukan pengorbana­n besar sehingga ibu bapa perlu bermuhasab­ah dengan mengambil sikap memperbaik­i cara teguran, nasihat dan bimbingan.

Mengajar anak tidak bermakna perlu menggunaka­n kekerasan, sebaliknya mengambil pendekatan bersifat lemah lembut terlebih dulu seperti dituntut dalam Islam.

Pada masa sama, ibu bapa juga perlu bertegas khususnya dalam memastikan sahsiah dan adab mereka terhadap sesama insan dan makhluk sentiasa terpelihar­a.

Rotan ada cara

A’dawiyah berkata, Islam membenarka­n anak dididik dengan cara merotan pada usia dan kaedah tertentu.

Ia selari dengan ajaran Nabi Muhamad SAW yang menyaranka­n ibu bapa supaya menyuruh anak berusia tujuh tahun mendirikan solat.

Sekiranya pada usia 10 tahun, mereka masih culas untuk menunaikan­nya, maka dibolehkan untuk merotan bagi tujuan mendidik.

“Dalam soal merotan, diingatkan supaya ibu bapa harus mempunyai niat baik sebelum melakukann­ya.

“Ia bukan langkah terawal, sebaliknya anak itu perlu dinasihatk­an terlebih dahulu dan ditegur dengan cara baik.

“Jika terpaksa merotan, ingat pukulan hanya pada bahagian kaki dan tapak tangan, selain perlu menyatakan mengapa terpaksa ambil keputusan menghukum dengan cara sedemikian,” katanya.

Sesuaikan ikut keadaan

Menghukum tanpa memberikan penjelasan akan membuatkan anak lebih memberonta­k, bahkan dalam sesetengah situasi, mereka hilang hormat dan ada yang sehingga mengambil tindakan drastik melakukan kekerasan pula terhadap ibu bapa.

Mengupas lanjut, A’dawiyah berkata, cara dakwah Rasulullah SAW dalam mendidik anak remaja wajar dijadikan ikutan dan boleh disesuaika­n mengikut konteks zaman hari ini.

Cara Rasulullah SAW menunjukka­n kasih sayang dan menegur anak remaja penuh dengan katakata hikmah sehingga ia mudah terkesan dan meresap ke dalam jiwa mereka.

Antaranya, Nabi Muhammad SAW suka memuji apabila anak remaja ini melakukan kebaikan sama ada menerusi perilaku atau mengeluark­an perkataan sopan dalam percakapan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia