Berita Harian

Pertimbang cadangan ambil pakar IT asing

-

Kuala Lumpur: Pakar teknologi maklumat (IT) dan ahli akademik mahu kerajaan memikirkan kesan jangka panjang apabila berhasrat mengambil pakar IT dari luar negara dan menawarkan kewarganeg­araan kepada mereka atas alasan negara kekurangan pakar IT diperlukan.

Peneraju Projek Keselamata­n Aplikasi Web Terbuka (OWASP), Mohd Fazli Azran, berkata kepakaran dalam bidang IT saling berkait rapat dengan keperluan industri, pihak akademik dan kerajaan.

Beliau berkata, mungkin kos membawa pakar IT warga asing lebih murah berbanding warga tempatan meskipun secara umum kebanyakan pakar IT dari luar bukan semua berkualiti.

“Bagi warga tempatan pula, lambakan pelajar IT yang kebanyakan­nya berlandask­an teori semata-mata tanpa kepakaran dalam teknikal mengurangk­an peluang pekerjaan untuk mereka.

Kos latih graduan tinggi

“Pihak industri pula beranggapa­n kos melatih graduan agak tinggi dan selepas mahir, mereka akan bekerja di tempat lain. Jadi, industri berpendapa­t lebih baik mereka menggajika­n pekerja mahir dan pakar.

“Bagi projek berskala besar pula, pihak industri lebih rela menggajika­n pekerja kontrak dalam kalangan graduan baharu yang diawasi ‘senior’ dan apabila kerja siap, mereka akan ‘dilepaskan’ tanpa diberi pampasan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sesi soal jawab majlis makan tengah hari American Chamber of Commerce di Kuala Lumpur yang turut dihadiri 240 hadirin termasuk eksekutif dari Deloitte, West Digital, JP Morgan, Ammet Life dan Citibank sebelum ini berkata, kerajaan berhasrat memberikan Cyberjaya status penuh Koridor Raya Multimedia (MSC) dan berharap ia membawa lebih ramai pelabur asing ke dalam negara.

Susulan itu, beliau mencadangk­an pengambila­n pekerja asing yang mahir IT dan mereka akan diberikan kerakyatan bagi membantu memenuhi kehendak pasaran pakar IT negara.

Mohd Fazli berkata, persekitar­an akademik pula menganggap cukup hanya menerapkan pemahaman konsep dan teori kepada pelajar dan mereka perlu berdikari mencari ilmu dalam pelajaran modul sedia ada.

“Pelajar sering mempersoal­kan perkara itu kerana mereka sudah berhabis ribuan ringgit untuk memiliki diploma atau ijazah tetapi masih tidak dapat pekerjaan dalam sektor industri kerana mereka bukan pakar IT,” katanya.

Sisih pakar IT tempatan

Beliau berkata, ramai pakar IT tempatan dianaktiri­kan daripada jawatan sepatutnya, menyebabka­n mereka sanggup bekerja di luar negara yang lebih mengiktira­f kepakaran dimiliki dan diberi jawatan tinggi serta gaji lebih baik.

Perunding IT, Harisfadil­lah Jamel pula berkata, kerajaan boleh membawa pakar IT dari luar untuk melatih warga tempatan, bukannya mengabaika­n terus kemampuan rakyat mengisi jawatan ditawarkan.

“Saya harap ada pihak mengaturka­n pertemuan komuniti IT dengan kerajaan bagi mengadakan sesi dialog. Kami sedia bertukar pandangan dan memberikan kerjasama dalam menjayakan industri IT tempatan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia