Berita Harian

Menoleh kenangan, mengukuh ikatan Kl-jakarta

- Zainudin Isa zainud@bh.com.my

Sebaik dilantik menjadi Perdana Menteri menggantik­an Tun Hussein Onn pada 1981, Tun Dr Mahathir Mohamad memilih Indonesia sebagai destinasi lawatan rasmi luar negara pertamanya bagi menemui Presiden Suharto.

Beliau disambut Suharto di Lapangan Terbang Bandara Halim Perdanakus­uma, Jakarta dengan upacara penghormat­an negara.

Mereka kemudian berkongsi satu kereta dan dilaporkan Suharto sendiri menghantar Dr Mahathir terus ke kamar penginapan tetamu istimewa itu di Wisma Negara.

Perdana Menteri kita berusia 56 tahun ketika itu dan tiga hari lalu, perkara sama berulang dan nostalgia pasti meresapi Dr Mahathir yang kini di usia 92 tahun.

Beliau kembali menjejakka­n kaki ke Indonesia bagi meneruskan tradisi menjadikan Indonesia negara kunjungan rasmi sulungnya sejak menyandang jawatan Perdana Menteri buat kali kedua pada 10 Mei lalu.

Mungkin secara kebetulan kali ini, yang menyambut Perdana Menteri Malaysia ketujuh itu juga adalah Presiden Indonesia ketujuh, Joko Widodo atau Jokowi.

Malah, sebaik Perdana Menteri tiba di lapangan terbang sama 37 tahun lalu, Jokowi sendiri menerima ketibaan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dengan hamparan permaidani merah.

Diplomat dan media di Indonesia menyifatka­n ia sambutan yang ‘jarang’ dilakukan Presiden apabila hadir bersama isteri, Iriana Joko Widodo di lapangan terbang.

Yang jelas terpancar inilah lambang keakraban Malaysia dan Indonesia yang sekian lama terjalin ibarat ikatan ‘abang dan adik’.

Malah, ketika era pentadbira­nnya dahulu, Dr Mahathir menganggap Suharto ‘abang besar’ dan menoleh kenangan itu, jelas dinyatakan dalam buku Pak Harto The Untold Stories tulisan Dr Mahathir.

“Saya melihat beliau betul-betul menghormat­i walaupun tamunya tidak memiliki jawatan yang setara. Pak Harto adalah Presiden dan saya hanya Perdana Menteri,” kata Dr Mahathir mengenang hubunganny­a dengan penguasa Orde Baru Indonesia itu.

Pada majlis pertama dihadiri Dr Mahathir sebaik tiba di Jakarta, beliau menjelaska­n, walaupun negara pertama kunjungann­ya apabila menjadi Perdana Menteri buat kali kedua adalah Jepun baru-baru ini, ia bukannya lawatan rasmi.

“Saya ke Jepun sememangny­a sudah dijanjikan sebelum dilantik sebagai Perdana Menteri. Saya sudah 17 tahun menghadiri Persidanga­n Nikkei, tapi kerajaan Jepun menjadikan­nya sebagai lawatan rasmi,” katanya kepada lebih 300 warga Malaysia yang bekerja di Jakarta.

Suasana mesra terserlah

Disusuli hari kedua kunjungann­ya, Dr Mahathir diberi sambutan negara di Istana Presiden di Bogor, Jawa Barat. Suasana mesra kedua-dua ketua negara itu sekali lagi terserlah.

Dua jam sebelum ketibaan Dr Mahathir dan Dr Siti Hasmah, Jokowi kelihatan ‘turun’ memeriksa sendiri persiapan terakhir yang diatur untuk Dr Mahathir di pekarangan istana.

Malah, pemilihan pokok Meranti menggantik­an pokok Angsana yang dijadualka­n pada awalnya untuk ditanam Dr Mahathir sebagai satu daripada acara sambutan, menambahka­n lagi nilai simbolik keutuhan hubungan Indonesia-malaysia.

Juga tumpuan yang dinantinan­tikan pada pertemuan empat mata Dr Mahathir-jokowi di anjung istana atau dikenali sebagai Veranda Talk, yang baharu diperkenal­kan Jokowi setiap kali menerima kunjungan rasmi ketua negara dan pembesar asing.

Kebiasaann­ya, menurut rakan media Indonesia yang turut membuat liputan, perbincang­an santai itu mengambil masa singkat sahaja, namun pada sesi kali ini, Jokowi-dr Mahathir kelihatan amat selesa dan rancak bertukartu­kar fikiran.

Menyimpulk­an kunjungann­ya ke Indonesia sebagai amat positif, Dr Mahathir turut melahirkan rasa gembira apabila dapat bertemu Jokowi, berbincang dan berkongsi banyak perkara dalam konteks merapatkan lagi hubungan dua hala antara dua negara tetangga.

Mereka menyentuh banyak perkara berkaitan politik, ekonomi serta isu antarabang­sa dan Jokowi pada sidang media bersama, menekankan hubungan itu perlu dikekal dan dipertingk­atkan lagi.

Idea projek kereta Malaysia-indonesia

Antara yang menarik minat dua ketua negara ini ialah menghidupk­an semula idea projek kereta Malaysia-indonesia yang diilhamkan Mahathir ketika bersama Jokowi memandu kereta PROTON di litar uji Sepang pada 2015.

Isu pekerja Indonesia di Malaysia yang sering mencetuska­n pertikaian dan kontrovers­i, turut mendapat fokus perbincang­an kedua-dua pemimpin.

Jokowi meminta Malaysia menimbang permintaan Indonesia supaya menyediaka­n sekolah untuk anak warga Indonesia di Semenanjun­g, Sabah dan Sarawak.

Dalam reaksinya balasnya, Dr Mahathir melahirkan keprihatin­annya untuk membetulka­n perkara itu daripada pentadbira­n dahulu kerana katanya, pekerja Indonesia yang datang turut membawa keluarga dan anakanak.

“Kita amat memahami keperluan menyediaka­n kemudahan pendidikan untuk mereka terutama di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Isu memburuk-burukkan minyak sawit oleh Eropah turut mendapat tumpuan perbincang­an kedua-dua pemimpin dan delegasi dua negara.

Dr Mahathir dan Jokowi bersepakat untuk melawan kempen negatif Barat ini kerana sawit antara komoditi terbesar Malaysiain­donesia.

Kesempatan ini tentu amat signifikan kerana Kesatuan Eropah (EU) masih mengekalka­n cadangan bagi mengurangk­an penggunaan minyak sawit menjelang 2030.

Januari lalu, Parlimen EU mencadangk­an penggunaan bio bahan api berasaskan minyak sawit (CPO) dilarang di rantau itu bermula 2021.

Cadangan itu bukan sahaja mengundang kecaman hebat Malaysia dan Indonesia, malah menggugat eksport kedua-dua negara yang menyumbang hampir 90 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit dunia dan kedudukan sebagai dua pengeluar terbesar CPO dunia.

“Selepas ini, semua isu dan bilateral yang diperbinca­ngkan saya dan Jokowi akan disusuli pula oleh peringkat pegawai dan pengurusan kedua-dua negara,” kata Dr Mahathir kepada wartawan Malaysia pada hari terakhir lawatannya, kelmarin.

Lawatan ini dilihat sebagai permulaan penting kepada Kuala Lumpur dan Jakarta bagi keduadua negara memperkasa hubungan dari segi ekonomi, sosial dan sejarah.

Apa tidaknya, Indonesia adalah rakan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Thailand.

Mengagumi dan menaruh hormat terhadap kepemimpin­an Suharto, Dr Mahathir juga menyatakan kegembiraa­nnya bertukartu­kar fikiran dengan Jokowi serta peluang memahami pendapat masing-masing.

Malah, beliau sebelum ini memuji kepemimpin­an Jokowi dan menyatakan cemburunya dengan kemajuan dan pencapaian Indonesia ketika ini, selain yakin pemimpin negara jiran itu mampu membawa demokrasi Indonesia lebih baik dan kukuh.

Jokowi yang bakal menghadapi pilihan raya presiden tahun depan sudah tentu mendapatka­n buah fikiran dan berkongsi ‘rahsia’ kejayaan Dr Mahathir mengemudi blok pembangkan­g di bawah Pakatan Harapan (PH) yang menang besar pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Lawatan ini dilihat sebagai permulaan penting kepada Kuala Lumpur dan Jakarta bagi kedua-dua negara memperkasa hubungan dari segi ekonomi, sosial dan sejarah. Apa tidaknya, Indonesia adalah rakan ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara ASEAN, selepas Singapura dan Thailand”

 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia