Berita Harian

Peniaga mengaku salah miliki daging hidupan liar

-

Bintulu: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Bintulu, semalam selepas mengaku bersalah memiliki daging hidupan liar, Disember tahun lalu.

Dalam kenyataan yang dikeluarka­n Jabatan Hutan Sarawak (JHS), semalam, Karim Lidam, 46, dijatuhi hukuman itu oleh Hakim Norhamizah Saifuddin selepas pertuduhan dibacakan terhadap tertuduh oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, peniaga terbabit dituduh memilik 81.2 kilogram (kg) daging babi hutan dan 7.7kg daging rusa tanpa kebenaran pihak berkuasa negeri.

Tertuduh dituduh melakukan kesalahan berkenaan di dalam pacuan empat roda di Pasar Tamu Bintulu pada 2 Disember 2017.

Bagi kesalahan itu, tertuduh dituduh mengikut Seksyen 37(2) Ordinan Perlindung­an Hidupan Liar 1998 kerana memiliki bahagian hidupan liar di Sarawak yang sabit kesalahan boleh dipenjara dua tahun dan denda tidak lebih RM25,000.

Norhamizah dalam penghakima­nnya berkata, mahkamah komited terhadap kes berkaitan hidupan liar dan alam sekitar agar ia tidak terus berulang pada masa akan datang.

Tiada peguam bela

Prosiding pendakwaan dikendalik­an Pegawai Pendakwa Jabatan Peguam Sarawak, Mohamad Muhaimin Zakaria, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

JHS giat meningkatk­an kesedaran orang awam mengenai kesalahan melakukan pemburuan haram dan pemilikan hidupan liar di Sarawak.

“JHS menyeru supaya orang awam yang mempunyai maklumat eksploitas­i hidupan liar atau pertanyaan berkenaan pengurusan hidupan liar di Sarawak untuk menghubung­i pejabat JHS berdekatan atau menghubung­i talian 1-800-887777.

Mahkamah komited terhadap kes berkaitan hidupan liar dan alam sekitar agar ia tidak terus berulang pada masa akan datang” Norhamizah Saifuddin, Hakim Mahkamah Sesyen Bintulu

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia