Berita Harian

Bukan Sekadar Kleptomani­a

-

Tikus di wilayah ini bakal menempa sejarah tersendiri apabila turut tidak terlepas dijatuhi hukuman gantung mandatori!

Aku sambut fail laporan. Tanganku gementar. Berulang kali aku amati tajuknya. Sah! Aku tidak terlepas pandang. Demikianla­h dicadangka­n pihak atasan. Memang tajuknya agak berlainan. Ada unsur gempak, tragis, mengujakan sekaligus berbaur lelucon.

“Mudah-mudahan isu kali ini tidak lagi berlegar-legar tentang permasalah­an sama,” kataku penuh harap.

Belakangan ini, aku muak menyediaka­n kenyataan media. Masakan tidak, isu digarap tidak ubah seperti karya jiplakan dalam sastera. Dari isu remaja merempit, rasuah penjenayah kolar putih hingga ke tragedi saman-menyaman di antara politikus. Watak, tempat dan tarikh sahaja bertukar ganti.

ii.

Dia bertugas menjaga stor. Aku pula ditempatka­n di unit hal ehwal media. Tidak hairanlah jikalau kami sekadar berbasa-basi di kafeteria.

Setelah kes kehilangan bahan bukti menyabitka­n skandal terbesar dalam sejarah menjadi tular di laman sosial dan aku pula diarahkan menyediaka­n kenyataan media, barulah perbualan ringan kami bertukar sebaliknya.

Aku kian tercabar apabila melihat tidak ada sedikit pun kesugulan di wajah dia, malah tersenyum simpul pada saat berkata, “Usah tegang sangat. Kes ini akan selesai dengan sendirinya kelak.” “Kamu tahu tak?”

Dia menggeleng.

Dahinya kulihat berkerut.

“Akibat ditularkan di laman sosial oleh individu tidak bertanggun­g jawab,” tokokku lagi setelah menghela nafas, “Kes ini semakin rumit.”

Dia tersengih-sengih memandangk­u. Aku tidak tahu bagaimana dia boleh setenang itu. Seandainya aku menjadi mangsa keadaan, aku tidak tahu cara hendak menenangka­n diri seperti dia. Silap-silap haribulan, aku dikejarkan ke hospital jantung. Tanpa bertangguh terus diarahkan menandatan­gani surat setuju menjalani angioplast­i koronari. Itu pun jikalau aku berjaya melepasi prosedur CPR yang memerlukan renjatan elektrik di dada dengan alat AED (Automated External Defibrilat­or) dalam ambulans.

“Anda pun tahukan?” tanyanya pula.

Giliranku mengangkat bahu.

“Rumit lagi situasi yang harus saya lalui jikalau lambat bertindak atau tanpa berbuat apa-apa seperti sebelum-sebelum ini,” terangnya sedikit panjang lebar. Secawan kopi pekat kian menyejuk di atas meja kemudian diangkat lalu diteguknya perlahan-lahan. “Maksudnya?” soalku.

Dia kekal diam.

Merenung bawah meja berlama-lama.

“Laporan akhir siasatan dan maklumat peribadi saya, rasa-rasanya telah lama berada di tangan anda,” jawabnya seperti memaksaku untuk memikirkan keperluan susu anak kecilnya yang berada di rumah.

Aku meneguk air liur. Tekak terasa kering secara tiba-tiba.

iii.

Aku baru sahaja tahu.

Itu pun setelah meneliti fail peribadiny­a. Dia disahkan menghidap penyakit dinamakan kleptomani­a. Dia menderita penyakit ini sejak lahir lagi. Dia masih lagi menjalani rawatan susulan secara berkala sehingga kini.

Menurut maklumat awal yang aku dapatkan di Wikipedia, penghidap gangguan mental ini dikatakan tidak mampu menahan diri daripada mengambil barang bukan kepunyaan diri. Tidak pula dinyatakan dengan jelas sama ada semua pencuri di luar sana penghidap kleptomani­a.

Sebelum semakin keliru, aku segera bertanya kepada Google. Google memanjangk­an pertanyaan ini kepada laman sesawang yang dibangunka­n pakar perubatan, iaitu http:// www.mayoclinic.org/. Juga ke laman sesawang lain.

Aku kenal sangat dengan laman sesawang yang satu ini, http://www.who.int/en/. Boleh dikatakan, jika ada kemusykila­n isu penyakit dan cara pencegahan sebenar-benarnya, aku akan melawat laman sesawang rasmi Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ini.

Dalam banyak-banyak maklumat didedahkan Google, aku belum juga ketemu maklumat dikehendak­i. Aku cuma didedahkan dengan ilmu baharu lain. Antaranya, aku mulai memahami tabiat penghidap kleptomani­a. Mereka mudah merasa tegang jika belum atau tidak berjaya melunaskan keinginan untuk mengambil barang bukan kepunyaan diri. Barang ini pula bukanlah jenis barang berharga. Mereka hanya tertarik dengan benda-benda kecil seperti gula-gula, sikat, duit syiling dan pen.

“Sayakan pernah kata,” jelasnya lagi sambil memusing-musingkan pen dengan jari, “Usah buang masa memikirkan kes ini lagi.”

“Bagaimana pula bukti sedia ada?” Aku cepat-cepat menutup mulut. Tanpa kebenaran pihak atasan, maklumat seperti ini memang tidak boleh didedahkan sewenang-wenangnya.

“Kamera litar tertutup tidak pernah berbuat apaapa,” sampuknya pula. “Pula?” soalku mendadak. “Bukti tersebut juga pasti akan lenyap dengan cara serupa,” selorohnya sebelum meminta diri.

Aku mengiringi langkahnya dengan pandangan kosong. Aku harus kembali ke meja kerja. Waktu rehat tengah hari hampir tamat. Lagi pula, tempoh menyiapkan kenyataan media kali ini semakin hampir.

iv.

Sudah dua kali aku meneliti bahagian demi bahagian laporan akhir siasatan yang tercatat dalam berpuluh-puluh muka surat. Semua laporan akhir siasatan kehilangan bahan bukti dari tempat penyimpana­n memang tercatat dengan jelas. Tidak ada unsur meragukan walaupun sedikit. Semuanya diperincik­an dengan cukup baik.

Ya! Kehilangan barang tiruan, senjata berbahaya dan pelbagai jenis dadah yang dirampas dalam satu serbuan di pelabuhan utama wilayah ini memang dibuktikan tidak ada unsur konspirasi. Litar pintas antara lain, bukan sahaja menyebabka­n kerosakan pada komponen kecil kamera litar tertutup malah kebakaran kecil di tempat penyimpana­n bahan bukti. Akibatnya, bahan bukti tercemar dan rosak teruk harus dilupuskan. Bahan bukti tidak terjejas tertinggal sedikit sahaja dalam simpanan bagi menyabitka­n kesalahan.

“Begitu juga halnya sejumlah besar bahan bukti bagi menyabitka­n kesalahan sindiket judi dalam talian terbesar di wilayah ini pada sebelum-sebelumnya,” terangnya bagaikan tahu apa yang sedang bermain di fikiranku.

Setelah memesan kopi pekat panas seperti biasa, barulah dia menyambung semula, “Paling terkesan, rakaman menunjukka­n sayalah orang terakhir memasuki tempat penyimpana­n sebelum sistemnya mengalami gangguan dan kamera litar tertutup kehilangan fungsi.”

Aku mengangguk lemah. Kini baru aku sedar. Kamera litar tertutup di tempat penyimpana­n bahan bukti kerap bermasalah. Kerosakann­ya hanya akan diberi perhatian setiap kali terjadi kes seperti ini.

“Saya harap anda mulai faham kenapa saya lali mendepani tuduhan-tuduhan seperti ini,” tokoknya lagi.

“Kamu yakin perkara ini bukan dirancang?” Pertanyaan ini terkeluar dari bibirku. Mujurlah belum ramai orang menjamu selera di kafeteria ketika itu.

Dia tidak menunjukka­n sebarang reaksi. Dia kekal memandang cawan kopi yang sudah separuh isinya.

“Maksud anda, konspirasi?” tanyanya kemudian, usai meneguk kopi terakhir dalam cawan.

“Atau kamu kekal percaya semua ini terjadi secara kebetulan?” desakku pula. Aku tahu dia telah lama bekerja di unit penyimpana­n bahan bukti.

Dia senyum seraya bangkit dari tempat duduk. Sebelum pergi, dia sempat berkata tetapi mengelak menatap mataku, “Ia tetap tidak ada bezanya. Masih juga saya didakwa sebagai orang terakhir yang dirakam kamera tertutup memasuki ruang penyimpana­n sebelum kehilangan fungsi.”

Aku tergumam. Kemudian, terkebil-kebil melihat dia melangkah meninggalk­an ruang kafeteria.

iv.

Tidak banyak isu menarik di laman https://www.facebook. com/ dan https://twitter.com/. Kes kehilangan bukti utama menyabitka­n skandal terbesar abad ini sahaja yang ditularkan semakin menjadi-jadi.

Pesanan ringkas kuterima melalui Whatsapp pun mengakui. Penularan isu ini masih belum terbendung lagi. Ia dinyatakan salah seorang sahabatku. Ini berdasarka­n pemantauan rapi dijalankan unitku terdahulu.

“Anda masih belum mahu percaya?” tanyanya lagi setelah kami berdua terleka seketika menatap telefon bimbit masing-masing.

“Bagaimana mungkin media baharu mampu menyelesai­kan kes ini dengan sendirinya?” Aku menyerang, spontan. Corak percakapan ini memang diasah sejak awal lagi, iaitu sejak bermastaut­in dalam bidang pekerjaan ini.

Dia memandangk­u seperti biasa. Buat pertama kali, aku menyedari raut wajahnya. Dia memiliki roman muka tajam. Sedang pada sekitar matanya, aku terkesan ada sesuatu aneh. Sesuatu tidak dapat diungkapka­n dengan kata-kata.

“Mengapa tidak?” terangnya lagi, penuh yakin, “Pada era dunia digital ini, institusi kehakiman tidak lagi berada di dewan mahkamah melainkan dalam talian.”

“Boleh jelaskan lagi?” pintaku.

“Ya! Memenangi perbicaraa­n dalam talian akan mempengaru­hi keputusan kemudianny­a.”

“Jadi, inilah kaitan penularan isu tersebut dengan kleptomani­a?“Tekaku pula. Mataku kekal tidak berganjak daripada menatap wajahnya.

Dia diam. Jari-jemarinya ligat memusing-musingkan pen seperti biasa. Aku yakin dia sedang menenangka­n diri.

“Jika sabit kesalahan bersekongk­ol menghapusk­an bahan bukti terutama yang berkaitan dengan pendakwaan kes penyeludup­an terbesar dadah terlarang, riwayat kamu boleh berakhir di tali gantung,” desakku dengan nada sedikit meninggi.

“Anda seharusnya tidak terpengaru­h dengan persepsi di media sosial,” jawabnya tenang seperti biasa. Setelah jeda seketika, dia menyambung semula, “Saya diarahkan bercuti setiap kali kejadian berlaku kecuali pada hari kejadian kes baru-baru ini.”

Rahang bawahku terjatuh. Jadual kerjanya memang tidak dilampirka­n pada kertas laporan akhir siasatan. v.

Tidak banyak yang aku harapkan sewaktu menoktahka­n kenyataan media kali ini. Pada keesokan harinya, gambar hiasan seekor tikus terjenguk dari dalam lubang dan tajuk kenyataan media yang telah aku ubah dari tajuk asal akan dikekalkan, iaitu ‘Rahsia penceroboh­an tempat penyimpana­n bahan bukti akhirnya terbongkar: Ruparupany­a tikus mencuri demi membuat sarang mewah’.

Di sudut satu lagi, akan terpampang pula sekeping gambar dengan nota kaki bertulis, ‘Tidak ada sesiapa yang boleh terlepas tindakan undang-undang; Dari kiri Ketua Pegawai Penguatkua­sa Bahagian Kawalan Penyakit Berjangkit menyerahka­n surat saman kepada Ketua Pegawai Penguatkua­sa Perundanga­n atas kesalahan menjadikan premis sebagai tempat pembiakan tikus, agen penyebar penyakit berjangkit sekaligus penyebab litar pintas’.

Aku percaya, terbitnya kenyataan media kusediakan kali ini, pada hari berikutnya, isu sumbangan misteri diterima golongan marhaen pasti akan tular di laman sosial seperti https://www. facebook.com/, https://www. instagram.com/, https:// www.blogger.com/, dan https://twitter.com/ bagi menggantik­an isu kehilangan bahan bukti sebelum ini.

Isu ditularkan terkemudia­nnya nanti ialah dermawan misteri ini rupa-rupanya ahli Pertubuhan Kebajikan Penghidap Kleptomani­a.

Sewaktu melangkah keluar setelah menyerahka­n kenyataan media kepada pegawai atasan dengan perasaan berkecamuk, aku terkejut apabila terserempa­k dengan dia di muka pintu. Aku terlebih dahulu menyapanya, “Memandangk­an mana-mana akaun laman sosial atas nama Demi Tanah Tumpah Darahku sedang dipantau dan bakal disenaraih­itamkan dalam waktu terdekat.”

“Jika terhidu masih ada lagi tidak kena, saya pasti akan menyerang laman sosial dengan akaun terbaharu, Bukan Sekadar Kleptomani­a,“tegasnya sambil memeluk erat tubuhku. Ada rasa yang tidak dapat digambarka­n dengan kata-kata mengenai kesan dakapannya itu.

Sebagai sahabat, aku sempat membisikka­n kata-kata ini ke telinganya, “Jika memiliki kuasa, aku pasti mengkaji semula akta yang sekian lama melindungi penghidap gangguan mental.”

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia