Berita Harian

Chong Wei, Momota berentap

Jaguh negara jangka aksi sukar di final, namun tetap positif jadi juara

- Oleh Helmi Talkah helmi.talkah@nstp.com.my

Datuk Lee Chong Wei (gambar) seperti sudah ada ramuan untuk menumbangk­an bintang muda Jepun, Kento Momota apabila kedua-duanya membuat perhitunga­n dalam aksi final Terbuka Malaysia di Arena Axiata Bukit Jalil, di sini, hari ini.

Walaupun tewas ketika pertemuan terakhir dengan Momota pada separuh akhir Kejohanan Badminton Asia April lalu, Chong Wei yang memburu gelaran ke-12 Terbuka Malaysia kekal positif dan sudah belajar daripada kesilapan lalu.

Jaguh perseorang­an lelaki negara berusia 36 tahun itu, berkata ia akan menjadi perlawanan yang sukar menentang Momota apatah lagi lawannya itu masih mengekalka­n rekod tanpa kalah dalam 22 perlawanan sejak Mac lalu.

“Momota masih muda dan sedang meningkat,” kata Chong Wei ketika ditemui selepas aksi separuh akhir bertemu Tommy Sugiarto dari Indonesia, semalam.

Perlawanan sukar

“Sebelum ini pun saya sudah katakan yang dia dan Viktor Axelsen (Denmark) akan menjadi bintang badminton dunia apabila saya, Lin Dan dan pemain senior lain bersara. Jadi saya menjangkak­an ia menjadi satu lagi perlawanan sukar untuk saya.

“Apapun, saya tidak mahu beri tekanan kepada diri sendiri. Saya akan turun, bermain seperti biasa dan menikmati perlawanan.”

Pemenang pingat perak Olimpik tiga kali itu mengesahka­n tempat ke final selepas menewaskan Tommy 21-18, 21-15 manakala Momota menang ke atas pemain India, K Srikanth 21-13, 21-13.

“Saya cukup gembira dengan prestasi saya hari ini (semalam) dan kemenangan ke atas Tommy menyaksika­n saya berjaya mengekalka­n rekod tanpa kalah ke atas dirinya untuk 17 perlawanan. Ia satu rekod yang baik untuk kerjaya saya.

“Namun, sebelum perlawanan saya tidak memandang mudah kemampuan Tommy kerana dia berjaya menewaskan pemain utama dunia, Shi Yuqi dari China ketika suku akhir. Jadi, saya memang buat persiapan terbaik untuk bertemu dengannya,” katanya.

Jika berjaya memenangi perlawanan hari ini ia akan menjadi gelaran pertama Chong Wei tahun ini manakala yang kedua buat Momota.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia