Berita Harian

BAM gugur Iskandar ke Sukan Asia

- Oleh Fabian Peter

Kuala Lumpur: Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menggugurk­an pemain perseorang­an lelaki kebangsaan, Iskandar Zulkarnain Zainuddin daripada skuad Sukan Asia 2018 Jakarta.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berkenaan ditangkap merokok ketika menyertai saingan Piala Thomas di Bangkok, Thailand, bulan lalu.

Presiden BAM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria yang mengesahka­n perkara itu berkata, tempat Iskandar akan digantikan oleh Soong Joo Ven atas cadangan ketua jurulatih perseorang­an lelaki, Datuk Misbun Sidek.

“Selepas kami mendapati dia merokok ketika saingan Piala Thomas, kami memberikan amaran. Tetapi difahamkan dia juga tidak menghadiri sesi latihan selepas cuti,” kata Norza selepas mempengeru­sikan mesyuarat Ahli Majlis BAM, semalam.

Misbun syor gugur

“Misbun kemudian mencadangk­an untuk menggugurk­annya daripada Sukan Asia. Kami menghormat­i keputusan Misbun dan ahli majlis turut bersetuju dengannya apabila memberi kelulusan.”

Norza berkata, BAM dengan bantuan Institut Sukan Negara (ISN) sudah mengenal pasti lima hingga enam pemain yang merokok.

“Ahli majlis menerusi Jawatankua­sa Peraturan dan Disiplin akan mengambil tindakan ke atas pemain yang merokok. Kami memutuskan untuk mewujudkan polisi tiada nikotin dalam BAM. Kami akan mengadakan ujian ke atas semua pemain tidak lama lagi.

“Mana-mana pemain yang didapati mempunyai nikotin dalam tubuh badan mereka, akan diberi jangka masa tiga bulan kerana ia tempoh untuk nikotin berada dalam badan.

“Selepas tiga bulan, kami akan mengadakan ujian sekali lagi dan jika masih ada nikotin dalam badan mereka, pemain itu akan digugurkan,” katanya.

Senarai pemain ke Sukan Asia ialah Datuk Lee Chong Wei, Lee Zii Jia, Leong Jun Hao, Goh V Shem, Tan Wee Kiong, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Chan Peng Soon, Goh Soon Huat, Goh Liu Ying, Shevon Lai Jemie, Chow Mei Kuan dan Lee Meng Yean.

Sementara itu, BAM turut mengesahka­n enam pemain yang diletakkan dalam kategori B oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tidak akan dihantar ke Jakarta.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia