Berita Harian

Hamidin calon paling layak

Subahan anggap pengganti Tunku Ismail rajin turun padang

- Oleh Aziman Rosdi dan Mohd Fitrie Muhamad

Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal percaya Datuk Hamidin Mohd Amin adalah calon terbaik menerajui FAM kerana sikapnya yang rajin turun padang.

Katanya, sebagai presiden baharu, tugas Hamidin bukan saja menentukan hala tuju badan induk itu dalam memartabat­kan bola sepak tanah air malah sentiasa mengambil berat masalah ahli gabungan.

Pencabar tarik diri

“Saya mengenali Datuk Hamidin sudah lama, hampir 20 tahun jadi saya tahu kehebatann­ya dalam menyelami hati budi ahli gabungan.

“Presiden FAM bukan hanya duduk di pejabat merancang hala tuju tetapi perlu menyelami masalah akar umbi dalam membantu persatuan bola sepak negeri,” katanya di sini, semalam.

Hamidin yang kini menyandang jawatan Setiausaha Agung FAM bakal dilantik secara rasmi sebagai Presiden FAM bagi menggantik­an Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam Kongres Tahunan ke-54 pada 14 Julai ini.

Ini berikutan dua pencabarny­a, bekas Presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa dan Pengerusi Insititut Sukan Negara (ISN), Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi menarik diri.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Kevin Ramalingam berkata pemilihan Hamidin mampu mengekalka­n usaha perubahan yang ingin dilakukan terhadap sukan itu.

“Sebelum ini kita sedikit risau jika ada presiden baharu yang mungkin tidak faham arah tuju MFL. Tetapi Hamidin faham apa yang kita lakukan dan dia yakin yang kita mampu meneruskan perancanga­n yang diatur,” katanya pada majlis pengumuman kerjasama antara Yakult Malaysia dan MFL, semalam.

Pengumuman ini diadakan serentak dengan program MOHSKOR anjuran Media Prima di sebuah pusat beli belah di ibu negara.

Hadir sama, Pengarah Urusan Yakult (M) Sdn Bhd, Hiroshi Hamada, ketua jurulatih skuad B-23 negara, Datuk Ong Kim Swee dan tiga pemain B-23, Irfan Zakaria, Syazwan Andik Ishak serta N Thanabalan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia