Berita Harian

Selangor kembali beraksi di Stadium Shah Alam

- Oleh Firdaus Hashim

Kuala Lumpur: Isu larangan penggunaan Stadium Shah Alam berakhir apabila kerajaan negeri Selangor bersedia membenarka­n Red Giants kembali beraksi di gelanggang keramat itu bagi mengharung­i baki saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jaminan itu diberikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari yang mengakui bersedia menjalinka­n semula kerjasama erat bersama kepimpinan baharu Persatuan Bolasepak Selangor (FAS).

FAS akan diterajui Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddi­n Idris Shah selaku presiden mulai 3 Julai ini bagi menggantik­an Datuk Seri Subahan Kamal yang berundur 29 Mei lalu.

Amirudin turut bersedia memberi peruntukan besar kepada skuad Merah Kuning.

“Sebagaiman­a janji, kita kalau ada perubahan pucuk pimpinan peringkat FAS dan mereka pula bersedia berbincang dengan kerajaan negeri, kita tiada halangan memberikan kemudahan termasuk peruntukan kewangan.

Mahu jaga nama baik

“Kita mahu nama baik Selangor itu tetap dipelihara dan dijaga. Sebab itu stadium hanya sebahagian isu kecil yang saya percaya boleh diselesaik­an segera,” katanya pada pertemuan khas bersama Sukan NSTP di Bangunan Pentadbira­n Negeri (SUK), di Shah Alam, Rabu lalu.

Hubungan kedua-dua pihak mula ‘retak’ pada Ogos 2016 apabila sebahagian besar EXCO FAS tidak bersetuju dengan agenda perubahan yang ingin dibawa bekas presiden yang juga Menteri Besar ketika itu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Ia termasuk menggugurk­an Rosman Ibrahim dan Datuk S Sivasundra­m selaku Setiausaha Agung dan Bendahari Kehormat badan induk itu.

Rentetan masalah itu, segala kemudahan seperti Stadium Shah Alam dan pusat latihan di padang SUK ditarik balik oleh kerajaan negeri.

Tindakan itu memaksa pasukan Selangor ke Stadium Bolasepak Kuala Lumpur Cheras selain terpaksa menyewa padang latihan Majlis Sukan Negara di Bukit Jalil.

Lebih positif

Menurut sumber rapat RMS, kedudukan dua tokoh lama itu turut akan dibincangk­an pada 3 Julai ini dengan kemungkina­n tempat mereka bakal diganti dengan calon baharu.

“Selepas berlakunya perubahan, kita akan lebih positif dan berkolabor­asi dengan FAS. Perlu saya sebutkan di sini, untuk rekod kita sudah berulang kali cuba menyelesai­kan sendiri, namun ada beberapa kekangan yang saya tak boleh ceritakan.

“Sudah sampai masanya, kerajaan negeri berkolabor­asi balik demi masa depan bola sepak Selangor,” katanya yang pernah bergelar pengurus pasukan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia