Berita Harian

‘Jeneral’ Isco harapan Laroja

Sudah sedia musnahkan skuad Sbornaya di laman sendiri

-

Kempen Piala Dunia Sepanyol dikejutkan dengan pemecatan Julen Lopetegui serta persembaha­n kurang meyakinkan di peringkat kumpulan selepas sekadar meraih satu kemenangan, namun sekurang-kurangnya pasukan itu kini memiliki ‘jeneral’ baharu iaitu Isco.

Perancang tengah itu memperagak­an aksi yang memberangs­angkan dalam tiga aksi La Roja setakat ini khususnya ketika membantu pasukan itu mengharung­i cabaran sengit apabila terikat 2-2 dengan Maghribi pada aksi terakhir Kumpulan B dengan dia meledak gol penyamaan pertama.

Selepas perlawanan itu, dia menjadi jurucakap pasukan apabila menegaskan persembaha­n mereka masih berada di bawah tahap sebenar berbanding apa yang mampu mereka melakukan.

Perlu sentiasa fokus

“Sekali lagi kami tampil dengan persembaha­n yang meragukan dan situasi ini tidak sepatutnya berlaku.

“Selepas ini semua perlawanan adalah hidup mati jadi kami tidak seharusnya dibolosi. Kami perlu sentiasa fokus dan meningkatk­an mutu persembaha­n kami.”

Daya kreativiti Isco ketika membantu jentera serangan dan karakter tegasnya turut disedari dalam bilik persalinan pasukan itu.

“Saya rasa dia tidak perlu lagi melakukan apa-apa, dia kini adalah antara pemimpin kami,” kata pertahanan, Dani Carvajal.

“Apabila kami beraksi buruk, dia akan terus mengambil tanggungja­wab dan membimbing pasukan ke landasan yang tepat.

“Anda tidak boleh meminta lebih lagi daripadany­a. Dia memperagak­an aksi terbaiknya di Piala Dunia jadi saya mengharapk­an dia akan meneruskan persembaha­n sebegini.”

Dengan David Silva dan Andres Iniesta memperagak­an kualiti mereka seperti biasa, Sepanyol mungkin perlu mengharapk­an Isco untuk memberikan inspirasi pada aksi pusingan kalah mati bertemu Russia atau skuad Sbornaya, malam ini, waktu Malaysia.

Aksi cemerlang Isco di Russia kali ini tidaklah begitu mengejutka­n memandangk­an dia pernah memperaga aksi sama ketika membantu Sepanyol membenam Itali 3-0 pada pusingan kelayakan dan merakam hatrik ketika membelasah Argentina 6-1, Mac lalu.

Cuma, pemain tengah berwibawa itu beraksi buat pertama kali di pentas tertinggi bola sepak dunia itu pada usia 26 tahun meskipun sudah menyertai Real Madrid pada 2013 selepas menyerlah dalam saingan La Liga bersama Malaga. REUTERS

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia