Berita Harian

UMNO beri kerjasama penuh isu beku akaun

Ahli parti diingat amal politik matang, elak kebencian

- Oleh Suzianah Jiffar

Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata UMNO akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) susulan pembekuan akaun UMNO pusat, barubaru ini.

Salleh yang juga Timbalan Pengerusi Badan UMNO Sabah yang menjalanka­n tugas sebagai Pengerusi UMNO negeri, berkata ini bagi memastikan penyiasata­n berjalan lancar.

“Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (Naib Presiden UMNO) sebelum ini sudah memberi kenyataan mengenai perkara itu (pembekuan akaun UMNO). Kita akan beri kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk menentukan penyiasata­n berjalan dengan lancar,” katanya.

Umum agihan dana

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kota Belud di Dewan Terbuka Datuk Musbah Jamli di sini semalam.

Baru-baru ini, Ahmad Zahid mendedahka­n SPRM membekukan akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor, sehari selepas beliau mengumumka­n agihan dana kepada UMNO negeri dan bahagian akan disalurkan semula.

Terdahulu, Salleh yang mempertaha­nkan jawatan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud selepas menang tanpa bertanding, mahu semua ahli UMNO khususnya di Sabah mengamalka­n politik matang dan bukan berdasarka­n kebencian.

“Kita perlu menjadi sebuah parti pembangkan­g yang memainkan peranan secara aktif dan konstrukti­f dalam proses pembanguna­n negara, bukan sekadar menjadi pembangkan­g.

“Kita perlu bergaul dengan masyarakat dan jelaskan perjuangan parti bagi memastikan UMNO di Sabah kukuh dan mantap. Dalam masa sama, kita akan melihat parti memerintah kerana pasti banyak janji yang diberi kepada rakyat yang kita mahu ia ditunaikan,” katanya.

Salleh berkata, walaupun tewas di Parlimen Kota Belud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), beliau menerima dengan terbuka kerana dalam politik tiada istilah menang kalah, yang ada hanya perjuangan.

Terdahulu, lebih 1,016 perwakilan menunaikan tanggungja­wab mereka sebagai pemilih di bahagian berkenaan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia