Berita Harian

Organ dalaman tak normal, gastrik punca 2 gajah mati

Sakit sejak beberapa tahun antara sebab kematian

- Oleh Kristy Inus

Pihak berkuasa semalam mendedahka­n punca kematian dua gajah di Taman Hidupan Liar Lok Kawi adalah kerana sakit dialami sejak beberapa tahun lalu, selain terkena jangkitan penyakit baharu yang tiada kaitan dengan gajah Pygmy Borneo sebelum ini.

Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHL) semalam mengesahka­n mengenai dua kes kematian gajah di zoo berkenaan beberapa hari lalu dan pada Mei lalu.

Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pelanconga­n, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Christina Liew, berkata Yapid, gajah jantan berusia 15 tahun ditemui mati pada pagi Selasa lalu adalah gajah cacat dengan pertumbuha­n tidak stabil, disebabkan masalah menelan makanan sejak diselamatk­an pada 2003 ketika berusia tiga bulan.

Katanya, gajah itu muntah setiap kali makan menyebabka­n pertumbuha­nnya tidak stabil dan masalah gastrik yang kronik.

“Sampel diambil untuk analisis bagi memeriksa apa yang mungkin menyumbang kepada kematianny­a. Ia sesuatu yang ajaib kerana gajah itu mampu bertahan lama,” katanya ketika meninjau Taman Hidupan Liar Lok Kawi susulan kes kematian dua gajah terbabit, semalam.

Seekor lagi anak gajah, iaitu Gendu yang berusia tiga tahun ditemui mati pada 8 Mei lalu.

Liew berkata, kematian gajah itu mengejutka­n anggota zoo berkenaan kerana haiwan terbabit kelihatan sihat sebelum ini, namun hasil bedah siasat mendapati kebanyakan organ dalamannya tidak normal.

Cari punca kematian

“Sampel sudah diambil untuk di analisis bagi menentukan punca kematianny­a yang sebelum ini tidak dapat dikenal pasti” katanya.

Sementara itu, Pegawai Veterinar, Dr Symphoras Sipangkui, berkata mereka menghantar sampel Gendu ke pusat penyelidik­an penyakit di Amerika Syarikat untuk menentukan sama ada punca kematian itu disebabkan Elephant Endothelio­tropic Herpes Virus (EEHV), penyakit berkaitan kematian gajah.

“Kita tidak menjangkak­an penyakit baharu ini kepada gajah Borneo. Biasanya ia berlaku di Amerika Syarikat terutama gajah Asia. Justeru, kita hantar sampel ke sana untuk mengetahui puncanya,” katanya.

 ?? [ FOTO MOHD ADAM ARININ/BH ] ?? Christina Liew melawat Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Penampang susulan kematian dua ekor gajah.
[ FOTO MOHD ADAM ARININ/BH ] Christina Liew melawat Taman Hidupan Liar Lok Kawi, Penampang susulan kematian dua ekor gajah.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia