Berita Harian

Zahid presiden baharu

DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI | 93 UNDI Khairy Jamaluddin | 51 UNDI Tengku Razaleigh Hamzah | 23 UNDI Datuk Seri Mohamad Hasan menewaskan Tan Sri Annuar Musa bagi jawatan timbalan presiden

- Oleh Manirajan Ramasamy dan Fahmy Azril Rosli

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendapat kepercayaa­n perwakilan peringkat bahagian UMNO, apabila dipilih sebagai Presiden UMNO yang baharu bagi penggal 20182021 semalam.

Keputusan itu sekali gus menjulang Ahli Parlimen Bagan Datuk itu yang sebelum ini menjalanka­n tugas pemangku Presiden UMNO sebagai Presiden UMNO kelapan.

Sehingga jam 9.40 malam tadi, Ahmad Zahid memperoleh 93 undi, menewaskan pesaing terdekat iaitu bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang juga Ahli Parlimen Rembau dan veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah selaku Ahli Parlimen Gua Musang. Dalam pemilihan semalam, Khairy memperoleh 51 undi, manakala Tengku Razaleigh ataupun Ku Li, mendapat 23 undi.

Dua lagi pencabar kerusi berkenaan yang kurang dikenali iaitu ahli UMNO Bahagian Bandar Tun Razak, Mohamed Iqbal Maricair dan ahli UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Mohd Yusof Musa@jamaluddin, gagal memperoleh sebarang undi.

Mesyuarat perwakilan UMNO yang berlangsun­g semalam, membabitka­n 191 bahagian dengan agenda utama adalah memilih barisan kepemimpin­an peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi bagi penggal 2018-2021.

Kemenangan Ahmad Zahid begitu signifikan pada pemilihan yang dianggap sebagai ibu segala demokrasi, selepas Barisan Nasional (BN) kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pemilihan kali ini juga amat bersejarah kerana sejak 1988, UMNO tidak pernah mempertand­ingkan jawatan untuk presiden dan timbalanny­a.

Pada pemilihan kali ini, semua jawatan dibuka untuk ditandingi.

Ahmad Zahid, 65, adalah Naib Presiden UMNO yang menjalanka­n tugas presiden parti susulan perletakan jawatan oleh Datuk Seri Najib Razak, mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam politik, selain berpengala­man luas dalam bidang perniagaan dan perbankan.

Pernah menjawat TPM

Beliau pernah menjawat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri di bawah pentadbira­n Datuk Seri Najib Razak sebagai Perdana Menteri.

Beliau kemudian menyandang jawatan Menteri Pertahanan (20092013) sebelum bertukar ke portfolio sebagai Menteri Dalam Negeri sejak 16 Mei 2013.

Berkelulus­an Doktor Falsafah dalam jurusan Komunikasi dari Universiti Putra Malaysia (UPM), anak kelahiran Bagan Datuk, Perak itu mula menjadi anggota Kabinet sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (2008-2009) ketika pentadbira­n Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum menjadi anggota kabinet, beliau pernah berkhidmat dalam pertadbira­n kerajaan sebagai Timbalan Menteri Pelanconga­n pada tahun 2004 dan Timbalan Menteri Penerangan (2006-2008).

Permulaan karier politiknya bermula 1984. Ketika itu, beliau bergiat aktif sebagai Ketua Pemuda UMNO Bahagian Bagan Datuk sehinggala­h terpilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia bagi tempoh 1996 hingga 1999. Pada 1991, beliau dilantik sebagai anggota Dewan Negara selama satu penggal.

Setakat jam 9.47 malam, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan mengesahka­n jawatan sebagai Timbalan Presiden UMNO baharu dengan 75 undi.

Mohamad Hasan menewaskan bekas Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa yang memperoleh 55 undi. Bagi jawatan Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendahulu pencabar lain dengan 16 undi, sehingga jam 9.47 malam tadi.

Beliau disusuli Datuk Seri Mahdzir Khalid (12 undi), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (15 undi), Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (13 undi), Datuk Tajuddin Abdul Rahman (12 undi) dan Datuk Seri Ahmad Said (satu undi).

Bagi calon ikan bilis yang bertanding jawatan berkenaan iaitu Sheikh Razali Sheikh Hamad masih gagal meraih sebarang undi buat masa ini.

 ??  ??
 ?? [FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] ?? Ahmad Zahid membuang undi pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, semalam.
[FOTO ABDULLAH YUSOF/BH] Ahmad Zahid membuang undi pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di Kompleks UMNO Bagan Datuk, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia