Berita Harian

Ku Li mahu ‘bersara’, dakwa pemilihan dicemari elemen beli undi

Cari pendekatan tentukan hala tuju baharu parti: Presiden

- Oleh Syed Umar Ariff, Mohd Anwar Patho Rohman dan Rohaniza Idris

Struktur UMNO akan dirombak bagi memastikan ia mampu melaksanak­an pembaharua­n untuk terus kekal relevan dalam kalangan rakyat, kata presidenny­a yang baharu, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid berkata, rombakan itu termasuk menarik penyertaan dua calon Presiden yang tewas, Khairy Jamaluddin Abu Bakar (KJ) dan Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) bagi bersama-sama memperkasa­kan kembali UMNO selepas agenda pemilihan parti selesai.

Katanya, beliau juga akan mencari pendekatan bagi menentukan hala tuju baharu parti itu dari segi struktur atau perlembaga­an serta menjenamak­an semula Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO.

“UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946 dan saya menganggap ia adalah UMNO 1.0. Pada 1987, UMNO terbelah dua dan itu UMNO 2.0. Dalam keadaan kita terdampar pada 9 Mei lalu, UMNO perlu melihat piagamnya dan berjalan semula atas semangat UMNO 3.0.

Runding dengan MCA, MIC

“Ketika Perikatan ditubuhkan dulu, ia adalah BN 1.0. Apabila BN ditubuh menggantik­an Perikatan, itulah BN 2.0. Tidak mustahil UMNO melihat BN kini sebagai BN 3.0 untuk dijenamaka­n semula selepas berunding dengan MCA dan MIC yang bersama kita dalam saat kepayahan ini.

“Penjenamaa­n harus berlandask­an kepelbagai­an kaum, agama dan latar belakang setiap parti agar ada parti menyertai gagasan baharu ini.

“Kita perlu berpijak di bumi nyata masyarakat di Malaysia berdasarka­n sunatullah, kewujudan pelbagai kaum, agama dan bahasa akan diterangku­mkan dalam gagasan parti politik baharu ini. UMNO akan menjadi tulang belakang kepada gagasan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang medianya yang pertama sebagai Presiden UMNO yang baharu di Menara Dato’ Onn, di sini, semalam.

Yang turut hadir, Timbalan Presiden yang baharu, Datuk Seri Mohamad Hasan; Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid; Setiausaha Agung, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; serta Ketua Pemuda, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan menilai peranan dapat dimainkan Khairy Jamaluddin dan Tengku Razaleigh untuk bersama mengorak langkah pembaharua­n UMNO.

Rangka perubahan

“Saya melihat ada perubahan sedang dirangka, termasuk semua akujanji dibuat calon jawatan Presiden. Saya ada 15 aku janji, KJ lapan dan Ku Li tujuh.

“Semua akujanji itu akan diteliti oleh saya, Timbalan Presiden dan Naib Presiden, serta wacana diadakan untuk menentukan sama ada seluruh transforma­si tiga calon diperinci dan dilaksanak­an. Saya akan berunding dengan sahabat lain dan mengemukak­an kepada MT selepas itu,” katanya.

Selain itu, katanya, rombakan yang akan dilaksana turut membabitka­n jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi UMNO negeri mengikut kesesuaian ke arah pembaharua­n.

Dalam pada itu, beliau berkata, UMNO juga akan berbincang dengan PAS bagi menentukan siapa yang layak dipilih sebagai Ketua Pembangkan­g Dewan Rakyat sebelum persidanga­n bermula pada 16 Julai ini.

“Kita belum memilih siapa yang akan diangkat menjadi Ketua Pembangkan­g. Ketua Pembangkan­g biasanya dipilih dan saya akan berbincang dengan PAS mengenai perkara itu.

“Kita akan mengadakan mesyuarat prapersida­ngan Dewan Rakyat. Kita juga mengalu-alukan mana-mana parti yang sudi bersama kerana ketika ini yang jadi pembangkan­g ialah UMNO dan PAS,” katanya.

 ??  ??
 ?? [FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] ?? Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan pada sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.
[FOTO SYARAFIQ ABD SAMAD/BH] Ahmad Zahid dan Mohamad Hasan pada sidang media di PWTC, Kuala Lumpur, semalam.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia