Berita Harian

Zakir tidak dihantar pulang ke negara asal

-

Putrajaya: Kerajaan tidak akan menghantar pulang Dr Zakir Naik ke India selagi penceramah bebas itu tidak membuat sebarang masalah, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, penceramah itu tidak akan dihantar pulang kerana sudah diberikan taraf penduduk tetap negara ini.

“Selagi beliau (Zakir) tidak membuat sebarang masalah, kita tidak akan menghantar pulang ke negara asalnya kerana beliau sudah mendapat taraf penduduk tetap,” katanya ketika menjawab soalan pemberita berhubung desas-desus penghantar­an pulang Zakir ke negara asalnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengeru­sikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, semalam

Santuni pelarian Syria

Berhubung isu kemanusiaa­n pelarian Syria, Dr Mahathir berkata, Malaysia sentiasa menyantuni pelarian negara berkenaan walaupun kehadiran mereka ke negara ini dalam jumlah yang ramai.

“Malaysia sentiasa menerima mereka (pelarian Syria). Kami berpendapa­t negara Eropah perlu mempraktik­kan kepercayaa­n mereka, iaitu bersimpati dan membenarka­n pelarian datang ke negara mereka.

“Saya difahamkan sesetengah negara menerima kedatangan (pelarian) agak ramai dan itu adalah sesuatu yang harus mereka lakukan, namun ada juga sesetengah negara yang sengaja enggan menerima (pelarian) dengan menutup pintu sempadan negara mereka. Ini tidak berperikem­anusiaan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia tidak mempunyai kuasa untuk menghentik­an pergolakan di Syria.

“Malaysia adalah negara kecil, kita hanya boleh menyuaraka­n pendapat,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia