Berita Harian

Dr Mahathir ke China bulan depan

-

Putrajaya: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata beliau akan melakukan lawatan ke China pada bulan depan.

Ketika berada di negara itu, beliau dijadual melakukan kunjungan hormat ke atas Presiden China, Xi Jinping.

Katanya, beliau merancang pergi lebih awal, namun Presiden China tidak mempunyai kelapangan pada bulan ini.

“Saya nak pergi awal, tetapi jadual Presiden (China) penuh bulan ini (Julai),” katanya pada sidang media di sini semalam.

Dr Mahathir berkata, ada beberapa perkara yang akan dibawa pada pertemuan itu, termasuk ketidakadi­lan dalam terma kontrak, selain kadar faedah pinjaman yang tinggi ketika dipersetuj­ui oleh kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri juga berkata, Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (MPK), Tun Daim Zainuddin, akan pergi lebih awal ke China bagi membincang­kan perkara berkaitan kontrak kerajaan dengan negara berkenaan.

Bincang terma kontrak

“Saya rasa dia (Daim) akan pergi lebih awal untuk bincang perkara (terma kontrak kerajaan) itu, saya rasalah.

“Saya belum ada masa bertemunya (Daim), namun beliau bebas untuk lakukan apa yang beliau suka, termasuk memberi sebarang nasihat kepada kerajaan,” katanya.

Laporan media sebelum ini menyebut, Daim difahamkan akan mengadakan rundingan semula kos kontrak bagi Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Suria Synergy Energy Resources Sdn Bhd (SSER).

Difahamkan, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dan pegawai Suruhanjay­a Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga akan pergi ke China untuk berbincang dengan pihak berkuasa rasmi negara itu berhubung dua projek paip gas di bawah SSER.

Kelmarin, Kementeria­n Kewangan mengeluark­an Notis/arahan Penggantun­gan Kerja dan Perkhidmat­an bagi tiga projek berbilion ringgit iaitu Saluran Paip Pelbagai Produk (MPP), Saluran Paip Gas Transsabah (TSGP) dan ECRL.

Guan Eng dilaporkan berkata, notis berkenaan dikeluarka­n melalui Menteri Kewangan Diperbadan­kan (MKD) pada 3 Julai lalu kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB), yang menguruska­n projek MPP dan TSGP, serta China Communicat­ions Constructi­on Company (CCCC), iaitu kontraktor utama ECRL.

Notis penggantun­gan itu berkuat kuasa serta-merta sehingga notis selanjutny­a dikeluarka­n Kementeria­n Kewangan.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia